Hakim perlu main peranan harmonikan sistem perundangan Syariah, Sivil
- Suara Keadilan
- Jun 20
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketidakseragaman antara perundangan Syariah dan Sivil di negara ini perlu diharmonikan oleh para hakim dan institusi kehakiman.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar), mencadangkan agar selepas ini pelantikan Ketua Hakim Negara mengambil kira kemampuan calon dalam memainkan peranan berkesan mengharmonikan antara kedua dua sistem perundangan tersebut.
Beliau berkata, meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap SIS Forum semalam tidak menolak keseluruhan fatwa yang menentang fahaman Islam liberal dibawa Sisters In Islam, namun hal itu telah menyebabkan fatwa tersebut kehilangan keberkesanan sebagaimana sepatutnya.
''Pertikaian antara perundangan Syariah dan Sivil akan terus berlaku. Setiap kali ia terjadi, maka umat Islam di negara ini akan resah tentang sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kekecewaan.
''Ia boleh melarat sehingga menghakis kepercayaan umat Islam terhadap keutuhan perundangan negara bagi menjamin kedaulatan Undang-undang Syariah,'' katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada kes SIS Forum yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Menurut Amidi lagi, pihak perundangan yang diketuai Ketua Hakim Negara sepatutnya menggunakan keterbukaan Majlis Raja-Raja untuk berbincang bagi mengelakkan salah faham dan menamatkan keresahan umat Islam.
''Sepatutnya inilah yang menjadi keutamaan Tun Tengku Maimun ketika dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada tahun 2019 ketika pemerintahan Tun Mahathir.
''Malangnya sehingga dipenghujung perkhidmatan beliau, keresahan umat Islam terus berpanjangan.
''Satu tindakan proaktif mesti diambil bagi menamatkan polemik berkenaan,'' ujar beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN.
Semalam Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum, dan penghakiman tersebut menyentuh tentang isu Perlembagaan yang mengehadkan bidang kuasa negeri mengeluarkan fatwa penyelewengan pegangan, hanya ke atas individu dan bukannya ke atas sebuah organisasi seperti syarikat.
Antara intipati penghakiman, Mahkamah Persekutuan mendapati SIS Forum - yang digunakan untuk membawa fahaman - bukanlah seorang individu. SIS Forum adalah sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat.
Maka ia tidak tertakluk di bawah perundangan Syariah kerana Butiran 1, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang hanya memberikan bidang kuasa negeri ke atas 'orang sebenar' dan bukan selainnya.
Comentários