![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_78db4c79b2ac4bae93aae87d13ef7114~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_445,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_78db4c79b2ac4bae93aae87d13ef7114~mv2.jpeg)
Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa hak kanak-kanak terbuang untuk mendapatkan warganegara tidak akan dinafikan.
Sehubungan itu, menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution menggesa istilah ‘dinafikan hak untuk dapat kewarganegaraan’ dihentikan bagi mengelak salah faham berhubung perkara terbabit.
"Sekarang kalau tak dapat pun cara 19B maka kita proses di bawah 15A tetap mendapat warganegara.
"Jadi saya mohon tidak ada lagi istilah menafikan hakikatnya kalau kita tak diluluskan di bawah kuatkuasa undang-undang tetap dibuat proses dan dibuat keputusan di bawah 15A," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Untuk rekod, Seksyen 19B menetapkan anak-anak terbiar dianggap dilahirkan oleh ibu bapa Malaysia pada masa kelahiran mereka jika identiti ibu bapa kandung mereka tidak dapat dikenal pasti.
Sementara itu, Perkara 15A memberi kuasa khas kerajaan untuk mendaftarkan kanak-kanak sebagai warganegara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan (GPS-Batang Lupar) berhubung mekanisme bagi membolehkan bayi atau kanak-kanak terbiar diberikan kerakyatan automatik.
Jelasnya, kementerian ketika ini sedang giat mendapat formula terbaik bagi menyelesaikan isu warganegara termasuk mengadakan sesi penerangan kepada ketua dan Ahli Parlimen pembangkang.
"Jadi sekarang masih dalam peringkat libat urus untuk mendapat formula dan sebelum pembentangan saya akan maklum kepada ketua whip masing-masing," ujarnya.
Selain itu, memyentuh soal kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri dan status kewarganegaraan di Sarawak, Saifuddin berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menanggani masalah tersebut.
"Pasukan ini dianggotai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Ketua Menteri Sarawak.
"Kita telah mengadakan program di 12 lokasi dan berjaya menerima sehingga 5,210 permohonan," ujarnya.
Jelasnya, usaha kedua ialah penubuhan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Sarawak bagi menyelesaikan masalah permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A bagi anak angkat, anak tidak sah taraf, anak di bawah jagaan dan anak terdampar.
"Kita telah berjaya selesai sehingga 946 permohonan dan akan dikumpul untuk diteliti KDN dan Kerajaan Sarawak sebelum membuat keputusan," katanya.
Usaha ketiga, kata Saifuddin adalah inisiatif Menyemai Kasih Rakyat bagi membantu penduduk mendapatkan kad pengenalan, sijil kelahiran dan mengeluarkan sijil kematian dan lain-lain perkhidmatan.
"Tahun lalu seramai 110, 637 rakyat mendapat manfaat program ini," ujarnya.
留言