top of page

Haji: Kekalkan syarat simpanan RM15,000, perkukuh bantuan bersasar

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
13 hours ago
3 min read
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Aiman Athirah Sabu. Gambar arkib
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Aiman Athirah Sabu. Gambar arkib

Syarat simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah haji wajar dikekalkan dengan pelaksanaannya diperkemas bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terpinggir, demikian kata Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Aiman Athirah Sabu.


Beliau berkata syarat yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) itu perlu dilihat sebagai penanda aras kesiapsiagaan kewangan dan bukannya halangan kepada umat Islam untuk menunaikan rukun Islam kelima.


"Oleh itu persediaan kewangan bukanlah suatu halangan yang sengaja diwujudkan untuk menyusahkan umat Islam.


"Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada usaha memastikan bakal jemaah dapat menunaikan ibadah dengan lebih terancang tanpa menjejaskan keperluan asas diri dan keluarga," katanya dalam kenyataan.


Terdahulu Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika bercakap di Dewan Rakyat menggesa supaya syarat simpanan minimum RM15,000 dalam TH dimansuhkan dengan alasan ia berpotensi membebankan pendeposit yang kurang berkemampuan.


Sebelum ini TH mensyaratkan simpanan minimum RM1,300 untuk mendaftar giliran haji dan kebiasaannya bakal jemaah akan mencukupkan wang bayaran haji sebaik menerima surat tawaran haji.


Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita AMANAH berkata isu tersebut perlu dinilai berdasarkan tujuan dan keberkesanan dasar selain mengambil kira kemampuan sebenar rakyat khususnya golongan B40, petani, nelayan, pesawah dan penduduk luar bandar.


Beliau berkata menurut penjelasan kerajaan di Dewan Rakyat, kira-kira 50 peratus bakal jemaah yang menerima tawaran haji bagi musim tahun 2025 menangguhkan pemergian ke Tanah Suci kerana kekurangan simpanan.


Bagaimanapun, katanya selepas syarat simpanan minimum RM15,000 dilaksanakan bagi musim haji 2026, kadar penangguhan dilaporkan menurun kepada 18 peratus.


Jelas beliau perkembangan itu memberikan petunjuk bahawa persediaan kewangan lebih awal, disokong usaha meningkatkan kesedaran pendeposit dapat membantu mengurangkan penolakan tawaran pada saat akhir.


"Justeru itu, jika langkah persediaan ini membantu mengurangkan penangguhan, mengapakah kita mahu memansuhkannya tanpa mengemukakan mekanisme alternatif yang sama berkesan?" soalnya.


Beliau menegaskan syarat simpanan minimum itu juga tidak boleh disamakan dengan kos keseluruhan menunaikan haji.


Bagi musim haji 2026, kos keseluruhan Haji Muassasah yang dinyatakan kerajaan ialah RM33,300 seorang manakala RM15,000 merupakan syarat simpanan minimum bagi kelayakan giliran haji automatik dan kadar bayaran haji bagi kumpulan B40 untuk musim berkenaan.


Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan dan TH perlu memperjelas struktur bayaran, bantuan kewangan yang tersedia serta mekanisme persediaan simpanan supaya pendeposit memahami kedudukan kewangan masing-masing.


Pada masa sama, Aiman Athirah mengakui penyediaan simpanan RM15,000 bukan perkara mudah bagi sesetengah keluarga terutama apabila lebih separuh pendeposit mempunyai simpanan di bawah RM1,300.


Justeru itu, beliau mencadangkan TH memperluas program simpanan berkala, pendidikan kewangan dan bantuan bersasar bagi membantu golongan berpendapatan rendah memenuhi syarat berkenaan secara berperingkat.


Beliau turut menggesa penjelasan lebih mudah difahami mengenai pengurusan simpanan pendeposit termasuk fungsi Tabung Am dan Tabung Istito’ah serta kedudukan wang mereka sepanjang tempoh persediaan.


Menurutnya tempoh peralihan kepada pendeposit sedia ada sehingga 31 Disember 2028 juga perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh program bimbingan kewangan dan mengenal pasti kumpulan yang memerlukan sokongan khusus.


"Matlamatnya bukan untuk melonggarkan prinsip sehingga persediaan kewangan tidak lagi bermakna tetapi memastikan lebih ramai umat Islam mampu memenuhi syarat tersebut secara terancang," katanya.


Tambah beliau, sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pendeposit yang telah lama menunggu giliran, bakal jemaah sudah bersedia untuk berangkat serta mereka yang memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpulkan simpanan.


"Akhirnya, kita tidak seharusnya mempertentangkan kebajikan rakyat dengan disiplin kewangan seolah-olah kedua-duanya tidak boleh berjalan seiring.


"Saya berpandangan bahawa syarat simpanan minimum RM15,000 tidak wajar dimansuhkan secara terburu-buru. Sebaliknya, kita perlu memperkukuh pelaksanaannya dengan pendekatan yang lebih inklusif, bersasar dan berperikemanusiaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page