Pelbagai bantuan kewangan, tambahan cuti dan pengecualian tol yang diumum oleh Perdana Menteri ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melambangkan kemurahan hati dan sifat ihsan beliau.
Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, kemurahan tersebut amat melegakan rakyat menjelang ketibaan sambutan Aidilfitri, terutama yang mempunyai keluarga atau sanak saudara tinggal berjauhan.
"Pengumuman itu bukan sahaja berita baik tetapi juga sebagai hadiah tambahan yang dapat menceriakan lagi seluruh umat Islam Malaysia yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilftri tahun ini.
"Berita-berita baik yang diumumkan semalam membuktikan bahawa Perdana Menteri yang ke 10 ini kaya dengan sifat ihsan, kasih sayang dan prihatin serta amat memahami keperluan rakyat yang menanti ketibaan Syawal sebagai hari kemenangan," kata Noraini dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat berkata, dengan adanya cuti tambahan serta tol Rahmah percuma selama beberapa hari di semua lebuh raya maka rakyat yang kurang berkemampuan dijangka mengambil peluang mengunjungi sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu.
Dalam pada itu, beliau juga mahu rakyat berhemah menggunakan penjimatan wang daripada pelbagai bantuan yang diberikan oleh PM untuk kegunaan selepas hari raya.
"Bijak dan berhemahlah sewaktu menguruskan perbelanjaan diri dan keluarga.
"Utamakan keselamatan dan kesihatan. Memandu dengan cermat dan amalkan sikap bertoleransi sesama pengguna jalan raya," kata Noraini lagi.
Antara bantuan diumumkan PM semalam:
1. Tol Rahmah Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk semua pengguna jalan raya bersempena Aidilfitri. Bermula 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga 24 April 2023 (Isnin) melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
2. Kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barangan asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
3. Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM (Kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya). Setiap saman boleh dilunaskan dengan hanya RM50 .
4. Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti). Memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan. Melibatkan pelepasan lebih 1,000 0BB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
5. Kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C & CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik yang tertumpu kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah. Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24, 000 unit.
6.Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi penyelenggaraan diagihkan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputra.
7. Kerajaan bersetuju supaya hari Jumaat, 21 April 2023 diisytihar sebagai Cuti Peristiwa. Sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat maka secara automatik Isnin 24 April 2023 akan diisytihar sebagai Cuti Peristiwa.
Comments