top of page

Hadi rendahkan Sultan Selangor: ‘Apa pendirian Azmin?’ - Borhan



Oleh: Abdullah Zaid


Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor mempersoal pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berhubung teguran Sultan Selangor terhadap sekutu kuatnya Presiden Pas Hj Hadi Awang.


Menurut Timbalan MPN Selangor, Borhan Aman Shah, PN Selangor wajib menyatakan pendirian memandangkan Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menzahirkan rasa amat dukacita baginda dengan kenyataan Hj Hadi mempertikai peranan Raja-Raja Melayu.


"MPN Selangor ingin bertanya apakah pendirian pimpinan PN Selangor terhadap kebiadaban Tan Sri Hadi yang dimurkai Sultan Selangor?


"Adakah PN Selangor dengan sengaja sanggup untuk membelakangi titah Sultan Selangor hanya semata-mata untuk menjaga hati pemimpin dan penyokong Pas?" tanyanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tegas Borhan, PN Selangor tidak boleh sekali lagi bersikap berdiam diri sebagaimana kes membabitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor yang mempersenda Sultan Selangor tahun lalu sehingga dihadapkan ke mahkamah.


Pada waktu itu, kata Borhan, PN Selangor mengambil sikap membisu seribu bahasa meskipun Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan murka baginda.


Bagi MPN KEADILAN, kata Borhan, parti itu akan terus mengambil pendekatan menyokong sebarang usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan mendukung institusi Raja Raja Melayu.


"MPN Selangor akan terus mendokong usaha memupuk perpaduan dan menyelar sebarang kenyataan yang menghina Raja-Raja Melayu yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.


"Agama Islam tidak boleh diperalatkan dan dicemari demi kepentingan politik kepartian masing-masing, itu pendirian kami," tegasnya lagi.


Kelmarin Hj Hadi menulis artikel bertajuk 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan' yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.


Dalam artikel tersebut Hj Hadi menyatakan Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang penjajah yang anti Islam dan umat Islam perlu mempunyai kerangkan hukum yang lebih baik.


Hj Hadi mengulas mengenai 16 perkara dalam enakmen jenayah syariah Kelantan yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan baru baru ini dan beliau mahukan hukuman takzir selaras dengan Islam serta menolak mana mana pembaikan undang undang takzir yang diperkenalkan selagi mana berdasarkan kerangka penjajah.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page