top of page

Hadapi ranjau membina bangsa, negara dengan contoh hikmah Rasulullah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 5
  • 2 min read

ree

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar meneladani hikmah dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam usaha membina bangsa serta negara yang berteraskan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan.


Beliau berkata, tatkala dunia dahagakan contoh teladan dan jiwa budiman, Nabi Muhammad SAW tampil sebagai sosok unggul yang menyerlahkan suara kejujuran, kejernihan jiwa dan aspirasi kemanusiaan sejagat.


"Rasulullah SAW bukan sekadar peribadi unggul, Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.


"Istilah al-Madinat al-Munawwarah pula mengisyaratkan tamadun kekotaan didasari cahaya (petunjuk wahyu) dan mengakar pada asas tauhid. Ia membayangkan aspirasi pembinaan kota sebagai tapak tamadun yang kemudiannya memberi dampak yang besar kepada dunia," katanya dalam perutusan di media sosial sempena sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M hari ini.


Menurut Anwar, kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah telah meletakkan asas kemadanian yang berpaksikan martabat insan, prinsip keadilan, kedaulatan hukum, nilai ilmu dan akhlak, serta kemanusiaan berlandaskan ajaran agama.


"Masyarakat madani dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul yang dicirikan oleh iman, nilai-nilai khayr (kebaikan), bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat, beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai ma'ruf dan pembasmian gejala-gejala mungkar," jelasnya.


Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 yang menegaskan bahawa umat Islam adalah sebaik-baik umat kerana berpegang pada amar makruf nahi mungkar serta beriman kepada Allah.


Anwar menegaskan bahawa berpaksikan sunnah kenabian dan rahmat Allah SWT, umat Islam perlu berani menghadapi cabaran dan ranjau dalam perjalanan membina bangsa serta negara dengan menjadikan hikmah Rasulullah SAW sebagai panduan.


"Semoga dengan penghayatan dan kefahaman mendalam mengenai esensi ajaran dan warisan Baginda akan terus memandu dan menggerakkan kita semua untuk berkerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page