Hadapi negara tua menjelang 2036: KKM perkasa rehabilitasi warga emas
- Suara Keadilan

- Nov 1
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Kesihatan (KKM) komited memperkukuh perkhidmatan rehabilitasi dan penggunaan teknologi moden bagi menjaga kesihatan warga emas sejajar jangkaan Malaysia mencapai status negara tua pada 2036.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, langkah itu penting menerusi pengukuhan perkhidmatan rehabilitasi serta penggunaan alatan berteknologi tinggi bagi memastikan golongan berusia 60 tahun ke atas mendapat rawatan pemulihan yang menyeluruh dan berkesan, sejajar dengan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan mereka.
"KKM menyedari hakikat Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada 2036 dengan populasi penduduk warga emas melebihi 15 peratus.
"Pertambahan ini berserta peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang akan memberi implikasi perbelanjaan tinggi serta memerlukan perancangan kesihatan yang holistik.
"Justeru, KKM giat mempertingkat dan memperkasa perkhidmatan rehabilitasi di semua peringkat termasuk kesihatan primer, secondary, tertiary dan komuniti," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau sebelumnya ditanya mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu menjaga kesihatan warga emas 60 tahun ke atas
Sementara itu menurut Dr Dzulkefly, kerajaan menyediakan perkhidmatan rawatan rehabilitasi asas secara percuma kepada warganegara di 1,103 klinik kesihatan di seluruh negara.
Perkhidmatan itu termasuk pengesanan awal risiko ketidakfungsian, latihan senaman terapeutik, pendidikan penjagaan diri dan program latihan penjaga.
Bagi kes lebih kompleks, pesakit jelasnya akan dirujuk ke hospital kerajaan serta ditawarkan program khusus seperti Program Warga Emas, Rehabilitasi Stroke, Rehabilitasi Jantung dan Rehabilitasi Paru-paru.









Comments