Had umur pengguna media sosial ke 16 tahun langkah tepat, lebih matang
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Cadangan kerajaan menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun dan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) disifatkan sebagai tindakan tepat dalam melindungi remaja daripada pengaruh negatif alam siber.
Naib Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur), Shahbudin Embun berkata, pada usia 16 tahun, kebanyakan remaja mempunyai tahap kematangan yang lebih baik berbanding usia 13 tahun, sekali gus dapat membantu mereka menilai isi kandungan yang diterima di media sosial dengan lebih bijak.
"Secara umum ia merupakan satu langkah yang baik kerana kita tahu umur 16 tahun biasanya lebih matang daripada usia 13 tahun. Apa yang lebih penting ialah bagaimana ibu bapa, guru dan masyarakat mendidik golongan remaja ini untuk menilai isi kandungan dan menapis sendiri elemen-elemen negatif seperti buli siber contohnya.
"Mereka juga perlu diajar, perbezaan sesuatu yang palsu dan sahih. Yang palsu tidak ada sumber yang betul. Pada masa yang sama kita juga perlu mengajar golongan remaja ini supaya menjauhi budaya negatif di media sosial. Contohnya mengutuk individu dengan bahasa kesat, memalukan orang dengan “body shaming”.

"Para remaja juga perlu dihadkan penggunaan media sosial. Jangan sampai mereka menjadi ketagih. Jika dah ketagih, sudah melibatkan masalah kesihatan mental pula," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau menegaskan bahawa aspek pendidikan literasi digital perlu diberi perhatian serius agar remaja dapat membezakan antara maklumat palsu dan sahih seperti mana berita palsu yang selalunya tiada sumber yang betul.
"Kita mesti ajar mereka mengenal pasti perbezaan ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah.
"Kita juga jangan glamor atau mengagungkan sesuatu yang ganas. Contohnya, jika ada individu bertindak ganas, jangan dianggap mereka ini hero," katanya sambil menegaskan pentingnya ibu bapa memantau kandungan tontonan anak-anak, sama ada di media sosial mahupun televisyen.
Namun, Shahbudin mengingatkan bahawa cabaran utama masih wujud apabila terdapat remaja yang mampu mendaftar akaun menggunakan umur palsu.
Oleh itu, katanya, kaedah electronic Know Your Customer (eKYC) untuk pendaftaran akaun media sosial remaja adalah langkah penting bagi membanteras penipuan dalam talian serta mengawal penyebaran kandungan tidak bermanfaat seperti judi serta iklan palsu.
"Memang terlalu banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam. Dengan eKYC, identiti pengguna dapat disahkan, sekali gus mengurangkan akaun palsu," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kaedah eKYC bukan sahaja meningkatkan ketelusan dan keselamatan, malah memudahkan pihak berkuasa memantau aktiviti dalam talian yang melibatkan remaja serta membantu penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah siber.
Menurutnya, eKYC turut memberi ruang kepada ibu bapa untuk mengawal aktiviti anak-anak di media sosial. Namun, beliau mengingatkan agar kawalan itu tidak keterlaluan.
Dalam pada itu, Shahbudin turut membangkitkan kebimbangan terhadap jurang digital, terutama dalam kalangan keluarga di luar bandar atau yang kurang mahir teknologi.
"Golongan ini mungkin menghadapi kesukaran melaksanakan eKYC. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan mereka tidak dipinggirkan daripada inisiatif ini," katanya.
Beliau menambah pelaksanaan eKYC merupakan langkah positif, tetapi pelaksanaannya perlu dilakukan dengan adil, berkesan dan telus agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.





