Had umur 16 tahun untuk media sosial perlu dilaksanakan - Fahmi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sekali lagi menekankan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial.
Langkah itu tegasnya bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan dengan perkara yang tidak sepatutnya dalam talian.
Pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall di Putrajaya pada Sabtu, Fahmi berkongsikan kejadian seorang murid seawal usia 10 tahun meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya menerusi WhatsApp.
"Kejadian dimaklumkan sendiri seorang guru dari Kuala Lumpur yang mengadu bahawa murid tahun empatnya menghantar mesej itu.
"Hal itu adalah antara contoh jelas yang menunjukkan keperluan sekatan media sosial bagi golongan muda," katanya menurut laporan media.
Justeru beliau berharap, pelaksanaan had umur di platform media sosial dan sistem pemesejan mampu mengekang isu tersebut daripada berulang.
Fahmi di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Di bawah perundangan subsidiari tersebut, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses pengguna bawah 16 tahun.
Manakala kandungan untuk pengguna bawah 18 tahun hendaklah disampaikan sesuai mengikut umur pengguna.









Comments