Had berhutang negara akan dinaikkan, PN beri gambaran ekonomi palsu?





Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sering mendakwa kewangan Malaysia kukuh serta mampu menanggung pelbagai jenis bantuan kepada rakyat.


Hakikatnya, menurut Akmal, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengakui bahawa had keberhutangan negara mungkin akan ditingkatkan melebihi kadar sedia ada 55%, berikutan defisit kewangan melebar akibat wabak Covid 19.


"Gambaran yang diberikan kepada rakyat biasa (hari ini) seolah-olah PN naik kerajaan ada duit. Seolah-olah Pakatan Harapan tak ada duit tetapi bila PN naik terus banyak duit.


"Dalam soal kewangan kita kena jelas. Semalam Menteri Kewangan telah mengakui mengenai tahap defisit.


"Berdasarkan had berkanun dalam undang-undang negara, tahap dibenarkan 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Defisit sekarang 52%. Kerajaan memberi unjuran hutang negara akan meningkat sebanyak 5.8% atau 6%.


"Kalau naik 6% maksudnya kita akan melampaui had berkanun sedia ada. Bermakna hutang negara pada hujung tahun dijangka mencecah 55% (atau lebih)," kata Akmal dalam sesi siaran langsung Facebook beliau.


Oleh itu, kata Akmal lagi, sekiranya kerajaan PN mahu Pembangkang menyokong mereka menaikkan had keberhutangan atas alasan Covid 19, kerajaan perlulah berlaku adil dengan membekal maklumat terperinci ke manakah dana bantuan akan disalurkan.


"Jalan yang boleh diambil kerajaan untuk menaikkan had hutang ialah pergi ke Parlimen dan mengaku mereka gagal kawal defisit.


"Saya jangkakan kerajaan akan mohon had dinaikkan kepada 60%. Mereka perlukan sokongan ahli parlimen (termasuk pembangkang).


"Oleh itu, kami Pembangkang perlu melakukan semak-imbang agar peruntukan itu digunakan ke tempat yang betul. Supaya tidak berlaku Menteri PN dalam keadaan rakyat susah, ada pula yang tukar kereta dari Camry kepada Lexus.


"PN kena tengok keutamaan. Keutamaan sekarang adalah membantu ekonomi peniaga kecil dan rakyat di peringkat bawah," katanya lagi.


Akmal turut mengingatkan kerajaan agar tidak lagi memberi gambaran palsu kehebatan ekonomi tetapi berakhir dengan episod tarif elektrik melambung.


Rakyat diberi gambaran agar duduk di rumah dan bil elekrik mereka akan diberi diskaun sehingga 50%. Sedangkan selepas 3 bulan bacaan meter terlalu tinggi sehingga menghilangkan nilai diskaun yang diberi.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio