top of page

Guru nampak dunia ke depan, murid troll masih pertikai sekeping foto

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 day ago
2 min read
DS Anwar (empat dari kanan) bersama pemimpin negara BRICS pada majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India. Foto Ihsan Jabatan Perdana Menteri
DS Anwar (empat dari kanan) bersama pemimpin negara BRICS pada majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India. Foto Ihsan Jabatan Perdana Menteri

Sikap segelintir pihak mengamalkan politik sempit diselar apabila mempersoalkan ketiadaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sekeping gambar pemimpin negara anggota BRICS pada Sidang Kemuncak blok ekonomi itu di New Delhi, India.


Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Mohd Hisyammuddin Ghazali berkata gambar yang dipersoalkan itu sebenarnya memaparkan pemimpin 11 negara anggota penuh BRICS dan bukannya gambar keseluruhan negara yang mempunyai hubungan dengan kumpulan itu.


Beliau menyifatkan persoalan berkenaan sebagai gambaran politik sempit yang gagal melihat perkembangan BRICS dari sudut lebih besar khususnya usaha mengimbangi kuasa ekonomi dan geopolitik dunia.


"Cari Guru dalam gambar memang tak jumpalah! Tu gambar 11 negara BRICS awal-awal lagi," katanya menerusi hantaran di media sosial.


Beliau yang dikenali sebagai Syam Ghaz berkata Malaysia merupakan negara rakan BRICS (BRICS Partner Country) sejak 1 Januari 2025 dan belum menjadi anggota penuh.


Menurutnya langkah Malaysia mendekati BRICS bermula apabila kerajaan pimpinan Anwar membuat permohonan untuk menyertai blok berkenaan pada 2024.


Syam Ghaz berkata ketika ini BRICS mempunyai 11 anggota penuh iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Arab Saudi.


Beliau berkata pengaruh BRICS tidak boleh dipandang ringan kerana kumpulan itu mewakili bahagian besar ekonomi, penduduk, perdagangan dan pengeluaran minyak dunia.


"BRICS sekitar 40 peratus ekonomi dunia berdasarkan PPP berbanding sekitar 28 peratus bagi G7," katanya.


Kata beliau perkembangan itu memperlihatkan dunia sedang bergerak ke arah susunan multipolar dengan BRICS menjadi antara platform yang menawarkan pengimbang kepada dominasi ekonomi Amerika Syarikat dan Barat.


Beliau berkata peluasan perdagangan serta penggunaan mata wang tempatan dalam urusan antara negara anggota turut membuka ruang untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.


"BRICS memperluas dagangan dan pembayaran menggunakan mata wang tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS," katanya.


Syam Ghaz berkata langkah Anwar mengadakan pertemuan dengan pemimpin seperti Perdana Menteri Narendra Modi dan Presiden Rusia Vladimir Putin perlu dilihat dalam konteks usaha membawa kepentingan perdagangan, pelaburan dan strategik Malaysia dalam perubahan landskap ekonomi dunia.


"Guru nampak perubahan dunia jauh ke depan. Murid troll masih sibuk cari Guru dalam sekeping gambar?


"Jauh langit dengan bumi antara murid dengan guru," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page