Guru Besar tonggak penting reformasi pendidikan di sekolah
- Suara Keadilan
- Jul 18
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan dalam memperkasa agenda reformasi pendidikan negara.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya beliau berkata, komitmen bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dihadapi guru itu termasuk berkaitan gred hakiki Guru Besar yang kini dalam perhatian serius kementerian.
"Isu-isu berbangkit termasuk yang berkait dengan gred hakiki Guru Besar sememangnya dalam perhatian kementerian. Ia sedang ditangani dengan sebaik-baiknya," kata.
Hantaran itu sebagai mengulas ucapannya pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu lalu.
Majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah itu menghimpunkan lebih 2,000 Guru Besar dari seluruh negara sebagai manifestasi sokongan terhadap usaha mereformasikan sistem pendidikan.
Sementara itu menerusi ucapannya, Fadhlina menekankan peri-penting peranan Guru Besar dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan.
"Guru Besar perlu memastikan agenda reformasi ini dapat direalisasikan di sekolah masing-masing demi manfaat murid, guru, warga sekolah dan seluruh masyarakat.
"Semua perkara yang dibangkitkan oleh PGBM akan saya teliti bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," jelas Fadhlina sambil merakamkan penghargaan kepada PGBM atas peranan aktif persatuan itu dalam memperkukuh profesionalisme dan kepimpinan Guru Besar di seluruh negara.
Sebagai tanda sokongan berterusan, Fadhlina menyatakan hasrat untuk mendukung program dan aktiviti PGBM termasuk menyalurkan sumbangan kewangan bagi menjayakan pelaksanaan aktiviti persatuan.
"Saya jemput barisan pimpinan PGBM untuk hadir ke pejabat bagi mengadakan perbincangan lanjut. Insya-Allah ini akan kita anjurkan dalam waktu terdekat," tambah beliau.
Comments