Gurauan sentuh isu Kristian: Hormati agama lain, jaga keharmonian negara


Pemimpin politik perlu lebih berhati-hati ketika membahaskan isu agama, bangsa dan negara bagi memastikan kebebasan bersuara tidak menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, berkata semua pihak mempunyai hak untuk bersuara dan membahaskan isu berkaitan agama, termasuk dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) tetapi ia perlu disertai tanggungjawab dan sikap menghormati penganut agama lain.
"Kita menghormati hak setiap parti politik untuk bersuara dan membahaskan isu-isu berkaitan agama, bangsa dan negara dalam Perhimpunan Agung Umno. Namun, kebebasan bersuara hendaklah sentiasa disertai tanggungjawab, adab dan sikap menghormati penganut agama lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Islam sendiri melarang umatnya daripada menghina atau mencerca sembahan agama lain seperti yang ditegaskan dalam Surah al-An‘am, ayat 108.
Katanya, perbezaan agama tidak seharusnya menjadi alasan untuk melakukan penghinaan, cercaan atau provokasi terhadap agama dan kepercayaan pihak lain.
"Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, khususnya ketika parti-parti politik sedang mengadakan perhimpunan besar seperti PAU, para pemimpin mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan ucapan yang disampaikan tidak mencetuskan kebencian, ketegangan atau perpecahan dalam kalangan rakyat," katanya.
Fakhrulrazi turut menggesa pimpinan Umno mengambil teguran berkenaan secara terbuka dan positif serta tidak menjadikan isu agama sebagai bahan untuk meraih sokongan politik sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat.
"Kita boleh berbeza pandangan dalam politik. Kita boleh berdebat tentang dasar, pentadbiran dan hala tuju negara. Namun, agama dan kepercayaan rakyat bukan bahan untuk dihina atau dipermainkan demi kepentingan politik," katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan teguran tersebut tidak bermaksud menyekat kebebasan umat Islam mempertahankan akidah dan kepentingan Islam.
Sebaliknya, katanya, perjuangan mempertahankan agama perlu dilakukan dengan hikmah, ilmu, adab dan kebijaksanaan, selaras dengan panduan Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 125.
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”
"Pemimpin politik, khususnya mereka yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat, harus menjadi contoh dalam menjaga tutur kata dan mengelakkan kenyataan yang boleh mengguris sensitiviti agama lain," katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin politik supaya mengutamakan hujah dalam perbahasan dan mengelakkan penghinaan atau kebencian ketika berbeza pandangan.
"Pertahankan agama dengan hikmah, bukan kebencian.
"Berbeza pendapat tanpa memecah-belahkan rakyat," katanya lagi.
Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berkata beliau bersedia memohon maaf sekiranya kisah yang disampaikan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2026 beberapa hari lalu menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.
Dalam ucapannya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada Sabtu, Noorazli menceritakan jenaka berkisarkan mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati yang dianggap sesetengah pihak berunsur seksual dan merendahkan darjat pemuka agama.




Comments