Gunakan perkataan baik: Rasullullah tidak panggil bukan Islam 'Sang Kafir'
- Suara Keadilan
- Apr 8, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Polemik penggunaan kalimah ‘kafir’ ke atas bukan Islam tidak perlu dipanjangkan lagi di media sosial bagi mengelakkan imej Islam tidak dipandang serong.
Bagi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub, istilah kafir dalam Al-Quran amat jelas merujuk kepada perbezaan di antara orang yang beriman dan orang yang kufur kepada Allah SWT.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan istilah tersebut tidak digunapakai dalam konteks interaksi antara orang bukan Islam dan Islam malah sewaktu di zaman Nabi Muhammad s.a.w sekali pun.
Beliau mengulas kritikan penyokong pembangkang ke atas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu klip video pertemuan tertutup yang mana beliau 'mengharamkan' penggunaan perkataan kafir di rumahnya.
"Saya fikir isu ini jangan dijadikan isu politik kerana dari segi penggunaan harian Rasullullah s.a.w tidak memanggil orang bukan Islam sebagai kafir.
"Dalam Al-Quran betul disebut perkataan kafir. 'Kulya ayuhal kafirun' dan seumpamanya tetapi itu dalam konteks diskripsi kepada kelompok yang ingkar (perintah Allah)
"Tetapi panggilan Allah kepada kalangan manusia 'ya ayuhan nas', wahai manusia. (Ayat itu) banyak turun di Mekah contohnya, termasuk kepada orang kafir.
"Manakala ayat yang turun di Madinah pula, 'ya ayuhal lazi na amanu', wahai orang beriman.
"Oleh demikian kalau kita lihat dalam sejarah, muamalah dengan bukan Islam ini bukan dipanggil dengan pandangan kafir tetapi panggilan yang lebih menjinakkan mereka kepada Islam.
"Muamalat harian tidak digunakan (perkataan) wahai kamu 'sang kafir', 'sang munafik' dan seumpamanya," kata beliau dalam satu hantaran video di akaun Tiktok armankebenaran.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kafir susulan terdapat pandangan berbeza dalam kalangan umat Islam mengenai perkara tersebut.
Dalam pada itu, Mustaffa yang juga Presiden RAPAT Rakyat mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dan tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ruang kepada salah faham terhadap Islam dalam apa jua isu.
"Kita tidak perlu menggunakan istilah yang boleh merenggangkan ikatan dakwah. Oleh itu kita perlu berhati-hati dan berhikmah mengikut apa yang disarankan dalam Al-Quran," jelas beliau lagi.
Comments