Guna undian Belanjawan 2021 sebagai tawar-menawar agenda reformasi - Wong Chen



Keadaan terdesak Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin selepas Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan mengisytihar darurat ke seluruh negara hendaklah digunakan sebaik-baiknya bagi menuntut pembaharuan dalam kerajaan.


Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, Pakatan Harapan (PH) seharusnya menggunakan pendekatan tawar menawar berdepan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan undi meluluskan Belanjawan 2021 amat penting.


Menurutnya, sekiranya PM Muhyiddin gagal meluluskan belanjawan kali ini maka beliau perlu meletak jawatan. Oleh kerana itu, PH tidak harus menyokong melulu tanpa sebarang timbal balas yang diperolehi dari kerajaan PN.


"Konvensyen Parlimen menuntut jika kerajaan kalah dalam Rang Undang-Undang kewangan, kerajaan tidak ada pilihan selain meletak jawatan. Undian belanjawan ialah ibu kepada semua RUU kewangan. Jika PM kalah undian ini, beliau perlu meletak jawatan dan kerajaannya akan tumbang.


“Oleh itu, kita tidak boleh menyerahkan 'senjata khas' ini kepada PM secara percuma. Sebaliknya, kita mesti mempertimbang menggunakannya sebagai kelebihan yang sangat penting bagi mendapatkan beberapa pembaharuan yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan demokrasi,” tulisnya di Facebook.


Menurut Wong lagi, terdapat banyak masa untuk PH menyuarakan beberapa tuntutan kepada kerajaan PN kerana undian belanjawan hanya akan berlangsung pada 10 Disember.


Manakala sokongan yang dinyatakan Umno kepada Muhyiddin bukanlah muktamad dan mungkin boleh ditarik pada bila-bila masa.


Sehubungan itu, Wong berpendapat PH perlu menawarkan undian blok Pembangkag dengan pertukaran kerajaan PN membuat beberapa reformasi pentadbiran.


“Paling atas dalam senarai pembaharuan demokratik ialah memberi hak tanpa had kepada Pembangkang untuk membentangkan usul Undi Tidak Percaya di Parlimen. Saya yakin Ahli Parlimen Umno yang berfikiran reformasi seperti Tengku Razaleigh Hamzah akan menyokong permintaan tersebut.


“Reformasi ini akan membolehkan Parlimen memeriksa keabsahan PM dan untuk mencegah kediktatoran


"Kedua, kabinet perlu meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen pada sidang Mac 2021 untuk menjadikan Parlimen bebas daripada eksekutif dari segi kewangan dan pentadbiran.


"Sebenarnya ada ratusan perkara yang boleh direformasikan tetapi saya menekankan pimpinan PH untuk berunding mengenai dua peruntukan asas demokrasi berkenaan," katanya.


Kata Wong lagi, tiada makna sekiranya kerajaan menawarkan perdamaian atau rekonsiliasi namun mereka tidak mahu melakukan sebarang pembaharuan demokrasi.


"Selepas gagal mengisytihar darurat, agenda pembaharuan menjadi lebih mendesak daripada sebelumnya


"Sebagai menunjukkan keikhlasan kerajaan, saya juga menyeru agar kabinet melakukan pembentangan penuh belanjawan kepada seluruh Ahli Parlimen Pembangkang pada 2 November ini.


“Selepas itu, biarkan rundingan ‘undi belanjawan untuk reformasi’ bermula demi kepentingan rakyat, demokrasi dan negara,” katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio