top of page

Guna ukuran Kemiskinan Pelbagai Dimensi bantu rakyat pasca darurat - banjir



Kerajaan Persekutuan disaran agar menggunapakai ukuran Kemiskinan Pelbagai Dimensi dalam sebarang program bantuan kepada rakyat pada masa hadapan, terutamanya yang terjejas teruk akibat Darurat dan banjir besar ketika ini.


Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) yang diusahakan pasukan beliau dan diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Datuk Seri Mustapha Mohamed baru baru ini perlu dipraktikan bagi mengelakkan ketersisihan sesetengah isi rumah dalam pelaksanaan program bantuan kerajaan.


"Hasil penemuan laporan MPI telah disebut buat pertama kalinya di Dewan Rakyat pada Julai 2021, yang melaporkan penemuan kemiskinan pelbagai dimensi dialami oleh 332 isi rumah B40 di Permatang Pauh, yang sudi ditemuramah dan berkongsi sisi yang sebenar terhadap kemiskinan, ditambah kesukaran pasca Covid-19.


"Dengan 9 dimensi kemiskinan (deprivation) yang diukur; 3 daripadanya berkait dengan kesan pandemik Covid-19. Saya bangkitkan juga bahaya yang mendepani kita sekiranya tidak sepenuhnya bersedia mendepani musim tengkujuh yang bakal tiba.


"Beban krisis pandemik - banjir - kemiskinan akan membebani kita semua sekiranya gagal bertindak untuk mempersiap dasar, langkah, serta program berintegrasi rentas agensi, yang menjadikan Malaysia kalis cabaran serta krisis masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Izzah, Penggunaan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) perlu realistik bagi membantu proses membuat keputusan berasaskan bukti pada semua peringkat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian inisiatif untuk mengurangkan kemiskinan.


Katanya kiraan baharu dimensi pasca Covid-19, iaitu ketersediaan jalur lebar dan kemudahan peranti dalam isi rumah juga harus dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam indikator MPI


"Sekiranya pada 2020, dianggarkan daripada 580,000 ribu sehingga 1 juta isi rumah yang tergelincir daripada M40 ke B40 maka tragedi #DaruratBanjir yang juga dipersulit menerusi kluster baru akibat gandingan bencana dan pandemik kini memberi kesan kepada lebih daripada 71,000 orang.


"MPI telah dibangunkan semenjak Rancangan Malaysia Ke-11, malangnya, akibat ukuran yang digunakan ketika itu masih belum cukup mencerminkan realiti yang dihadapi oleh rakyat menyebabkan ukuran MPI tersebut tidak mampu diiktiraf dan ini diakui oleh Philip Alston, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia ketika beliau melawat Malaysia pada 2019.


"Dengan MPI 0.0033 yang dijana dan angka kemiskinan negara 0.4%, ianya disifatkan masih terlalu rendah untuk menjadi ukuran kemiskinan yang bermakna bagi negara ini," katanya.


Beliau juga beranggapan kerajaan wajib melengkapkan Pelan Pemulihan Negara yang masih belum selesai kerana rakyat belum pulih sepenuhnya.


Majlis Pemulihan Negara, katanya perlu membincangkan langkah seterusnya mengambil kira kelangsungan hidup 71,000 mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan; peruntukan RM100 juta yang diumum; beserta wang ihsan RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (anggaran RM17.75 juta bagi purata 4 orang seisi rumah); RM75.8 juta dana am (hasil sumbangan GLC dan lain-lain) dan bantuan lain yang bersyarat untuk usahawan, koperasi dan sebagainya.


"Persoalannya, adakah jumlah kasar bagi setiap mangsa yang boleh disimpulkan sejumlah RM6,600 seorang mencukupi? Sebagai perbandingan, sehingga akhir 2020 NADMA menerima RM129 juta; sementara MKN sebanyak RM1.4 bilion. Bayangkan keperluan bantuan meliputi pelbagai dimensi bernilai RM30,000 secara konservatif (dengan purata 4 orang seisi rumah) diberikan secara berfasa, ia mungkin memerlukan belanja RM532.5 juta


"Kiraan MPI bagi isi rumah mangsa #DaruratBanjir mampu memberi gambaran jumlah yang lebih realistik bagi maksud pemberian bantuan," katanya lagi..


Tambah Izzah, kerajaan perlu terus istiqamah menambahbaik MPI. Begitu juga ukuran tersebut perlu dikaji dari semasa ke semasa berikutan perubahan iklim dunia dan kerapnya terjadi bencana alam.


Katanya, hanya pelan pemulihan yang berempati, komprehensif dan realistik, mampu melindungi kebajikan rakyat selayaknya.


Kerajaan, gesa Izzah, wajib mengambil langkah jangka pendek, pertengahan serta panjang secara proaktif dan secara bersama meraikan serta memuatkan semangat setiakawan dan kesukarelawanan rakyat dalam tugas pemulihan negara.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page