Kecurian kabel TM di Kadun Batu Uban ditangani bersama penduduk
- Suara Keadilan
- 50 minutes ago
- 1 min read

Kes kecurian kabel telekomunikasi di Kadun Batu Uban, khususnya di sekitar Minden Heights perlu ditangani dengan kerjasama penduduk.
ADUN Batu Uban, A Kumaresan berkata, beliau telah melakukan lawatan di kawasan terlibat baru baru ini bersama pegawai dari Telekom Malaysia (TM), MPKK Taman Brown dan anggota PDRM Jabatan Siasatan Jenayah Jelutong.
Katanya, sindiket terancang mencuri kabel itu sukar ditumpaskan sekiranya tidak diusahakan secara bersama oleh semua pihak.
"Lawatan ini adalah susulan daripada aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Kadun Batu Uban mengenai kegiatan kecurian kabel TM yang berleluasa di sekitar Minden Heights.
"Ini adalah satu sindiket terancang yang melibatkan beberapa kumpulan yang beroperasi dari tengah malam hingga awal pagi.
"Sindiket ini didapati menggunakan kereta curi dan nombor plat palsu. Mereka juga mempunyai beberapa peralatan canggih untuk membuka manhole TM," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tambah Kumaresan, satu laporan polis juga telah dibuat dan pihak TM. Mereka, katanya berjanji akan membuat rondaan di kawasan-kawasan panas dengan bantuan pihak PDRM.
"Saya juga telah menyeru pihak PDRM untuk melakukan rondaan secara berkala di kawasan ini," katanya lagi.
Justeru Kumaresan menasihatkan penduduk kawasan Batu Uban sekiranya mendapati sebarang kes salah laku di kawasan berkenaan maka perlu segera melaporkan ke Hotline Pusat Khidmat Batu Uban +60 17-277 0388 atau Balai Polis Jelutong di talian 04-2825922.