Guna pendekatan tegas, hikmah tangani penghinaan agama - IKRAM
- Suara Keadilan

- Mar 3
- 1 min read

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru umat Islam bersikap adil dan berlandaskan prinsip rahmah tanpa berkompromi terhadap sebarang perbuatan menghina agama.
Atriza Umar, Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM menegaskan bahawa ketegasan dalam menuntut hukuman terhadap penghinaan agama perlu menampilkan wajah Islam yang rahmah menerusi konsep Asas Islam Rahmah (AISAR).
"Dalam kerangka AISAR, ada beberapa asas penting. Pertama, maruah agama mesti dipertahankan. Kedua, undang-undang mesti ditegakkan. Ketiga, pendidikan masyarakat mesti diperkasa agar penghinaan seperti ini tidak berulang.
"AISAR bukan pendekatan lembik, bukan toleransi membuta tuli. AISAR ialah keseimbangan antara ketegasan dan hikmah. Antara keadilan dan kasih sayang. Antara mempertahankan prinsip dan memulihkan masyarakat," katanya dalam kenyataan sebagai merujuk insiden memijak al-Quran yang tular baru-baru ini.
Sementara itu Atriza menegaskan, undang-undang negara telah memperuntukkan hukuman jelas terhadap kesalahan yang menyentuh sensitiviti agama serta mengancam ketenteraman awam.
Insiden terbaharu itu tegasnya satu cerminan bahawa tahap literasi agama generasi muda masih perlu diperkukuh, bagi menghindari ekstremisme atau Islamofobia.
"Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan perlu membina ekosistem kefahaman menyeluruh mengenai isu sensitiviti agama di semua peringkat pendidikan, termasuk melalui platform digital.
"Namun, pendidikan tidak menggugurkan keperluan hukuman tegas, yang menjadi mesej jelas bahawa negara tidak berkompromi terhadap penghinaan agama," tambahnya.
Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.
Individu itu bakal didakwa di mahkamah hari ini dan berdepan dua pertuduhan iaitu dibawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau.




Comments