top of page

Guna pendekatan baharu tingkatkan sumbangan ekonomi Bumiputera



Oleh: Helmi Mohd Foad


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, beliau tidak mahu agenda membangunkan golongan Bumiputera dilihat dari lensa politik semata-mata sebaliknya mahu fokus diberikan kepada usaha meningkatkan ekonomi golongan tersebut.

Beliau berkata, perkara itu kerana jumlah perusahaan Bumiputera adalah lebih besar tetapi sumbangan ekonominya secara relatih masih ada jurang.


"Saya perhatikan Ahli Parlimen pembangkang (terutamanya dari Bersatu) sering bertanya mengenai agenda ekonomi Bumiputera yang dibawa Kerajaan Perpaduan.


"Saya faham lenggok pertanyaan mereka, konon untuk menunjukkan mereka membela Melayu. Ikut hati, saya ingin jawab mudah sahaja, Insya-Allah kami tidak akan menunggang nama Melayu untuk beberapa kerat rembat duit Jana Wibawa yang akhirnya di Ali Babakan kepada syarikat bukan Melayu," katanya dalam hantaran di Facebook.


Rafizi berkata, semua pentadbiran Kerajaan Persekutuan mengaku ada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera namun soalnya ialah bagaimana, supaya ia mencapai matlamat dan membawa kebaikan kepada negara keseluruhannya.


"Apa matlamat agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera? Orang lain mungkin melihatnya dari lensa politik semata-mata. Sebagai Menteri Ekonomi, fokus saya ialah meningkatkan sumbangan ekonomi Bumiputera memandangkan jumlah perusahaan Bumiputera adalah besar tetapi sumbangan ekonominya (secara relatif) masih ada jurang.


"Daripada lebih sejuta entiti perniagaan di negara ini, hanya 3 peratus adalah syarikat-syarikat besar sementara sekitar 2 peratus adalah syarikat bersaiz sederhana. Sekitar 15 peratus adalah syarikat kecil, sementara 80 peratus entiti perniagaan adalah perniagaan mikro," katanya.


Jelas beliau majoriti pemilik entiti perniagaan mikro dan kecil ini iaitu sekitar 95 peratus dari entiti perniagaan berdaftar adalah dari kalangan peniaga Bumiputera.


"Oleh itu, usaha menskalakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana agar mereka naik ke takuk lebih atas dan usaha memperkasakan perniagaan Bumiputra, adalah satu usaha yang bertindih dan boleh digerakkan seiring.


"Sebab itu, pandangan saya, dalam merangka dasar-dasar baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputera, kita perlu menggunakan pendekatan-pendekatan baru.


"Perniagaan Bumiputera mestilah berdaya saing dan boleh berdiri sendiri. Program kerajaan perlu berhati-hati untuk mengelakkan pergantungan kepada bantuan kerajaan yang boleh mengikis daya saing," katanya sambil menyatakan mesej itu telah disampaikan kepada penerima-penerima geran bantuan Teraju dalam satu majlis baru-baru ini.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page