Penyelesaian perdagangan dua hala menggunakan matawang tempatan mungkin akan diperluas melibatkan negara anggota BRICS yang mengamalkan polisi serupa.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat potensi polisi menggunakan matawang tempatan dalam perdagangan dua hala bersama negara dalam kumpulan BRICS selepas hal itu berjaya dilakukan bersama anggota utama BRICS, China.
Namun katanya, Malaysia masih belum melibatkan anggota BRICS seperti Brazil, Argentina di Latin Amerika atau Afrika Selatan dan Ethopia di Afrika.
"Ada cadangan melibatkan negara BRICS. Namun setakat ini yang paling ketara ialah China. Tetapi belum ada usaha untuk meluaskan ke Afrika dan Latin Amerika.
"Tetapi kejayaan dengan China jadi petunjuk untuk memungkinkan, kerana boleh mengukuh kedua dua matawang tempatan (dua negara)," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN - Parit Sulong).
Namun begitu kata Anwar, di peringkat ASEAN negara entreport Singapura enggan menggunakan matawang selain dolar Amerika Syarikat sebagai penyelesaian pembayaran.
Begitu juga Korea Selatan dan beberapa negara lain.
"Dari segi perdagangan yang tertinggi (Malaysia dengan) Singapura sebanyak 15%. Tetapi sebagai negara perdagangan Singapura tidak menunjukkan terlalu kuat minat menggunakan wang tempatan.
"Kemudian saya tidak lihat minat Jepun, Hong Kong. Kalau ikut urutan, kepentingan perdagangan ialah Thailand, Indonesia. Korea Selatan tidak. India masih kenakan sekatan penggunaan rupee di luar India, melainkan untuk warganegara India," katanya lagi.
Comments