Guna kemudahan media semai semangat membaca - Anwar
- Suara Keadilan
- Jun 10, 2023
- 2 min read

Perdana Menteri tidak mahu melihat generasi baharu mengambil jalan singkat untuk mencari kebenaran dengan bergantung hanya kepada media sosial sehingga ia dilihat seperti 'katak di bawah tempurung'.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI – Petronas 2022 di Kuala Lumpur malam tadi berkata, wartawan dan media harus memainkan peranan untuk menanam semangat membaca dalam kalangan generasi itu tanpa mengira apa jua platform.
"Saya memilih untuk melontarkan idea yang tersemat di jiwa sanubari saya iaitu bagaimana kita boleh gunakan nikmat kemudahan media yang ada untuk mendidik anak bangsa, menanam semangat membaca.
"Pilih jalur apa pun, media cetak atau digital, saya tiada masalah, tetapi jangan cari jalan singkat untuk mencari kebenaran kerana kalau kita izinkan berterusan maka satu generasi akan kekal ibarat katak di bawah tempurung," katanya dipetik.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.
Mengulas lanjut, Presiden KEADILAN itu menggesa pengamal media berpengalaman membantu dalam memberi penekanan baharu atau tambahan dalam usaha mengangkat nama Malaysia.
"Rakan-rakan yang senior membantu memberi suatu penekanan atau tambahan dalam usaha mengangkat supaya Malaysia ini akan dikenali bukan sahaja negara yang bercambahnya institusi-institusi pendidikan tetapi mengangkat martabat rakyat melalui kefahaman dan minat membaca.
"… (sama ada) akhbar atau jalur media sosial lain dengan isu-isu yang ditulis dengan yakin dan memberi kefahaman yang baik," katanya sambil mengingatkan tugas wartawan tidak hanya melaporkan sesuatu berita semata-mata sebaliknya bertindak sebagai pemimpin dalam mendorong idea kepada masyarakat.
Tambahnya lagi, semua perkara harus disandarkan kepada nilai sama ada kemasyarakatan, tatakelola mahu pun kenegaraan.
"Kehilangan atau kelunturan nilai itu menyebabkan kita diheret membawa kerosakan kepada masyarakat. Ini ditentukan oleh tahap pendidikan dan asas yang cukup," katanya.
Comentarios