
Kerajaan Sarawak digesa menggunakan sebahagian dana Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) untuk menaiktaraf sistem kesihatan dan perhubungan di kawasan pedalaman Sarawak.
Menurut Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, dana dari LKWKKH itu boleh digunakan untuk menaiktaraf jalan akses ke setiap kampung.
Katanya, semua kampung di pedalaman Sarawak seperti Baram, Limbang, Hulu Rejang, Selangau dan Lawas termasuk dalam kawasan konsesi balak.
"Salah satu tujuan Kumpulan Wang tersebut ditubuhkan pada tahun 1980-an yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sarawak sehingga sekarang ialah untuk menaiktaraf sistem kesihatan, sistem perhubungan jalan, pertanian dan sebagainya.
"Rakyat pedalaman Sarawak memang menghargai usaha memerangi Covid 19 melalui vaksinasi, pematuhan SOP dan meringankan beban rakyat melalui program bantuan makanan.
"Walau bagaimanapun, usaha ini sangat mencabar di kawasan pedalaman Sarawak kerana sistem kesihatan, komunikasi dan jalan akses yang mundur. Rakyat sedaya-upaya respon terhadap usaha Kerajaan memerangi Covid 19 namun pihak berwajib seperti LKWKKH yang mengurus Kumpulan Wang tersebut bagi pihak masyarakat yang tinggal dalam kawasan konsesi balak perlu menggunakan sebahagian dana daripada Kumpulan Wang tersebut untuk membantu menerangi Covid 19 dan memulihkan ekonomi mereka.
"Kampung-kampung pedalaman terpaksa bergantung pada syarikat balak untuk penyelenggaraan jalan balak ke kampung dan kemudahan kenderaan awam. Klinik kesihatan pula adalah jauh daripada kebanyakan kampung. Pertanian sara diri masih giat diamalkan," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Roland menyeru agar Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) bertindak segera mengikut tujuan asal penubuhannya.
"Dana ini perlu digunakan segera untuk menaiktaraf sistem kesihatan, jalan perhubungan dan mengupayakan kegiatan pertanian desa
"Hal ini penting bagi merapatkan jurang keadilan sistem kesihatan, sistem pengangkutan, sistem telekomunikasi dan sistem ekonomi rakyat di kawasan pedalaman Sarawak," katanya lagi.