top of page

Guna bekas banduan elak kebergantungan pekerja asing - Sivakumar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 31, 2023
  • 1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Kementerian Sumber Manusia (KSM) mencadangkan para banduan diberi peluang kedua untuk bekerja bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.


Menterinya, V Sivakumar (PH-Batu Gajah) berkata, cadangan itu akan diperhalusi melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


"Ramai juga (banduan) diberi peluang pekerjaan dan mereka yang berada dalam penjara diberi latihan serta yang keluar dari penjara selepas menjalani latihan juga sudah ditempatkan di alam pekerjaan," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan untuk memberi peluang kepada bekas banduan bekerja.


Sementara itu, mengulas soalan awal daripada Ahli Parlimen Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta jumlah terkini pekerja asing, Sivakumar memaklumkan unjuran jumlah pekerja asing sehingga 30 September itu adalah lebih 2.7 juta orang.


Jelasnya, jumlah tersebut merangkumi lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan lebih 150,000 pekerja asing yang belum memasuki Malaysia.


Dalam pada itu, katanya, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 hanya seramai 747,167 orang.


"Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor-sektor tertentu yang sukar diisi oleh tenaga buruh tempatan.


"Oleh itu, kerajaan sedang giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page