Guna AI secara bertanggungjawab mampu bentuk identiti kukuh - Dr Wan Azizah
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru ahli persatuan itu memanfaatkan kemajuan teknologi termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan kebaikan.
Tegasnya, teknologi perlu digunakan dengan tanggungjawab dan etika supaya dapat membentuk identiti yang kukuh, pertumbuhan peribadi seimbang serta daya tahan terutama kepada remaja perempuan.
"Kemajuan teknologi yang dicapai pada masa kini haruslah digunakan untuk tujuan yang murni. Kita tidak mahu ketinggalan. Walaupun AI mempunyai potensi besar, ia perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.
"Pada masa sama, kita perlu bersama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ahli Pandu Puteri mempunyai jati diri yang tinggi serta seimbang dari sudut pembangunan insan, mempunyai empati yang tinggi, luhur budi pekerti dan mengamalkan nilai ketimuran dan adab sopan yang sesuai," katanya dipetik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PPPM ke-109 di Kuala Lumpur pada Ahad.
Majlis sambutan itu turut dihadiri Timbalan Presiden PPPM Datuk Tengku Shireen Tengku Suleiman, Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng, pemimpin daripada kesemua 18 cawangan negeri serta wakil daripada semua peringkat persatuan itu.
Pada acara tersebut Dr Wan Azizah turut mengumumkan pelancaran Kumpulan Advokasi Remaja Wanita sebagai inisiatif penting yang menyediakan ruang untuk wanita muda menyuarakan kebimbangan mereka dan memperjuangkan isu penting. Turut dilancarkan, inisiatif "Girl Guide Cookies 2025" untuk menggalakkan semangat keusahawanan dan berdikari dalam kalangan ahli muda.
Sementara menerusi ucapannya, Dr Wan Azizah mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya peka terhadap aktiviti dalam talian anak-anak, di samping menekankan peningkatan penggunaan teknologi yang tidak beretika akan membawa risiko besar.
"Bukan untuk mengongkong kebebasan, tetapi bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara negatif," tambahnya.









Comments