Guna agama, 'Melayu terancam' politik ketinggalan zaman - Mahfuz
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Penganjuran Himpunan Alam Melayu dan Ijtimak Antarabangsa di Terengganu awal bulan ini tersasar daripada tujuan asalnya sebagai platform wacana ilmiah.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, himpunan yang berlangsung dari 2 hingga 4 April 2026 itu dilihat berubah menjadi pentas politik yang sarat dengan naratif ketakutan serta sentimen sempit biarpun seharusnya menjadi medan bertukar fikiran memajukan umat Melayu-Islam.
"Apa yang berlaku bukan sekadar wacana perpaduan, tetapi penggunaan agama Islam dan sentimen umat untuk mengabsahkan agenda politik Pas-PN," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dakwaan bahawa Melayu dan Islam sedang terancam dalam negara ini merupakan naratif yang sengaja diulang bagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
"Hakikatnya kedudukan Islam termaktub dalam Perlembagaan, hak Melayu terjamin dalam sistem negara dan institusi Islam terus diperkukuh," ujarnya.
Mahfuz turut menyifatkan pendekatan tersebut sebagai tanda ketandusan idea serta kegagalan pihak pembangkang menawarkan dasar yang lebih bermakna kepada rakyat.
"Rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan politik lama yang menjual ketakutan, ancaman dan sentimen sempit," katanya.
Beliau menegaskan bahawa ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan cabaran ekonomi, himpunan sedemikian tidak menawarkan penyelesaian konkrit kepada masalah sebenar.
"Sebaliknya, rakyat disogok dengan slogan dan retorik yang tidak memberi kesan kepada kehidupan sebenar mereka."
Tambah beliau, penggunaan slogan agama bagi menutup kelemahan dasar juga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap wacana Islam yang sebenar.
"Lebih membimbangkan apabila kelemahan dasar di negeri SG4 (ditadbir PN) cuba disembunyikan di sebalik slogan agama Islam dan perpaduan.
"Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap wacana Islam yang sebenar," katanya.
Tegas mahfuz, negara tidak memerlukan politik yang hidup daripada ketakutan rakyat. Rakyat semakin matang dan mereka tidak lagi menilai siapa paling lantang, tetapi siapa paling mampu menyelesaikan masalah negara.




Comments