Kenyataan Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu, Dr Afif Bahardin semalam di Shah Alam yang ingin menggulingkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lebih kepada propaganda dan sama sekali tidak berfakta.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Shah Alam, SP Sarawanan, ucapan tersebut tidak "berpijak pada bumi yang nyata" serta melucukan andai dikira daripada prestasi KEADILAN di Selangor dalam 3 PRU kebelakangan ini.
Katanya, KEADILAN telah bertanding sejak tahun 1999 (PRU10), tahun 2004 (PRU11), 2008 (PRU12), 2013 (PRU13) dan 2018 (PRU14). Dari 5 PRU yang ditandingi, 3 PRU KEADILAN menang dengan majoriti yang kian meningkat.
"Sokongan warga Shah Alam terhadap calon KEADILAN amat memberangsangkan. Meskipun mengharungi 3 penjuru dan lebih namun calon KEADILAN tetap mendapat tempat di hati pengundi.
"AMK Shah Alam menempelak ucapan Dr Afif dan menyifatkannya sekadar cuba menutup kelemahan parti baharu beliau sendiri," katanya.
Sebaliknya, Sarawanan menasihatkan Dr Afif agar mengukur baju di badan sendiri berkenaan kekuatan Bersatu yang baru bertapak di negeri Selangor.
Anggota Majlis Pimpinan AMK Malaysia itu juga mahu Dr Afif melihat hakikat bahawa Presiden Bersatu sendiri tidak berdaya menahan serangan dan digulingkan dari jawatan Perdana Menteri sebelum mereka berazam untuk menggulingkan orang lain.
"Selepas Presiden beliau digulingkan dengan hanya 18 bulan memerintah maka seharusnya Dr Afif membuat penilaian sendiri sebelum memperkecilkan parti yang telah mengangkat beliau sebagai ADUN Seberang Jaya selama 2 Penggal.
"Pengkhianatan dalam Langkah Sheraton bersama rakan -rakan beliau pasti akan dihakimi oleh rakyat DUN Seberang Jaya pada PRU 15 kelak," katanya.
Justeru, AMK Shah Alam dengan itu bersimpati terhadap rakyat di Seberang Jaya yang mana ADUNnya banyak menghabiskan masa berjalan-jalan di Shah Alam daripada memberi khidmat kepada rakyat di DUN
"AMK Shah Alam menegaskan KEADILAN di Shah Alam akan terus kukuh dan bersedia mempertahankan DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga. Sekiranya beliau cuba mengintai Parlimen Shah Alam, KEADILAN akan mempertahankan demi Pakatan Harapan," katanya lagi.
Sarawanan menasihatkan Dr Afif untuk sentiasa bermuhasabah dan merendah diri serta berhati-hati ketika berucap dan jangan menyibukkan diri dengan bekas parti yang telah beliau khianati.
Comments