top of page

Gugur pindaan anak terdampar bukti Kerajaan Madani dengar suara rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 24, 2024
  • 2 min read


Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tidak meneruskan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan untuk anak-anak terdampar dan tanpa kerakyatan adalah sangat dialu-alukan.


Ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani sentiasa prihatin suara rakyat dan peka terhadap mereka.


Dalam pemakluman mengenai perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pandangan pelbagai pihak yang diterima melalui sesi libat urus yang dilakukan kementeriannya.


Katanya, antara pihak yang dilakukan perbincangan dalam sesi libat urus itu ialah Ahli-Ahli Parlimen, wakil parti-parti politik, pakar perundangan, wakil agensi peringkat negeri serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau NGO.


Pendirian KDN itu menunjukkan kerajaan sentiasa mendengar suara hati rakyat berkaitan pindaan yang hendak dicadangkan.


Hal ini bermakna, kerajaan sentiasa ingin bersama dengan rakyat dalam apa juga keputusan yang diambilnya.


Meskipun pada awalnya KDN berasakan pindaan itu perlu dilakukan demi kebaikan negara, tetapi memandangkan lebih ramai tidak bersetuju, sambil mengemukakan hujah-hujah mereka, pihak kementerian akhirnya akur untuk menarik balik cadangan pindaan berkenaan.


Pendirian KDN terpuji


Pendirian dan sikap KDN ini amat terpuji kerana sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat, Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan ia tidak sesekali berhasrat membelakangkan suara rakyat.

Noraini Nordin

Sangat diharapkan sikap mendengar suara rakyat ini menjadi amalan berterusan selepas ini dalam apa jua tindakan. Amat penting untuk kerajaan mengadakan sesi libat urus yang intensif bagi memastikan pandangan rakyat sentiasa menjadi perkiraan.


Dalam hal berkaitan, tahniah kepada KDN atas tujuh lagi pindaan berkaitan kewarganegaraan yang akan diteruskan pembentangannya di Parlimen, terutama berkaitan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.


Pindaan ini adalah sesuatu yang mencerminkan keadilan kerana selama ini hanya bapa warganegara Malaysia sahaja berhak menurunkan status warganegara kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.


Syabas kepada kerajaan atas pindaan ini yang memberi hak sama rata kepada wanita dengan lelaki.

______________________________________________________________________________

Penulis juga merupakan Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page