Gubal segera Akta Pendanaan Politik, kawal selia sumber derma - NGO



Pendedahan di mahkamah dalam perbicaraan kes korupsi bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang melibatkan sumbangan kewangan daripada syarikat berurusan dengan kerajaan mewajarkan Akta Pendaaan Politik segera digubal.


Menurut Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), pemindahan dana yang diistilahkan sebagai sumbangan politik yang didakwa dibuat oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam kes itu kepada beberapa ahli politik terkemuka sehingga S$520,000 sebulan kepada Ahmad Zahid; RM1.3 juta kepada Muhyiddin Yassin pada 2018; RM3.7 juta kepada Khairy Jamaluddin serta beberapa nama lain tidak sepatutnya dipandang ringan.


Kata C4, tidak mustahil banyak lagi pembiayaan politik yang berlaku namun tidak terdedah seperti dalam perbicaraan rasuah kes bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.


"Testimoni bekas pengarah dan kakitangan UKSB mengesahkan bayaran kepada Ahmad Zahid dan Muhyiddin Yassin adalah berkaitan program sistem visa asing kerajaan yang melibatkan perjanjian kontrak antara UKSB dan Kementerian Dalam Negeri. Bayaran berkenaan telah direkodkan dalam lejar UKSB.


"Pendedahan ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk kerajaan memperkenalkan undang-undang mengenai pembiayaan politik dan mengawal selia secara menyeluruh derma kepada parti politik atau individu yang berkaitan politik.


"Derma politik tidak terkawal adalah penyebab utama rasuah politik. Di bawah rangka kerja undang-undang semasa, tiada had jumlah derma yang dibenarkan.


"Juga tiada keperluan bagi parti politik mendedahkan identiti penderma. Ini menghalang sebarang jenis pengawasan atau penelitian awam bagaimana derma itu mempengaruhi sistem politik sehingga selepas seseorang ahli politik didakwa menerima rasuah, seperti yang dibuktikan oleh kes Ahmad Zahid sekarang.


"Berapa banyak lagi "derma politik" yang mencurigakan kepada ahli politik yang tidak diketahui oleh orang ramai?" tanya C4 dalam satu kenyataan.


Tegas NGO itu, kekurangan peraturan mengenai derma politik juga mewujudkan kawasan kelabu di mana garis antara derma politik dan rasuah boleh menjadi kabur.


Hal itu, kata C4, memberi kesan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor. Selepas beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan menerima sogokan berjumlah RM2 juta daripada pengarah urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.


"Alasan pembebasannya ialah RM2 juta yang dipersoalkan, yang dimasukkan ke dalam Tadmansori Holdings Sdn Bhd milik Tengku Adnan sendiri, didapati merupakan derma kepada Umno untuk dua Pilihan Raya Kecil dan bukan untuk kegunaan peribadi Tengku Adnan.


"Di manakah, kita akan membuat garis untuk derma politik ini? Walaupun mereka mungkin merupakan sumber pembiayaan politik yang sah, tanpa peraturan dan pengawasan yang sewajarnya, mereka bukan sahaja membuka pintu kepada kemungkinan berlakunya rasuah antara ahli politik yang berkuasa dan syarikat yang mencari perniagaan tetapi juga memusnahkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem politik.


"Sebilangan besar ahli politik yang menghadapi kes mahkamah yang melibatkan derma politik menunjukkan ini bukanlah amalan terpencil," kata C4.


Sehubungan itu NGO berkenaan menggesa agar Parlimen membentangkan Rang Undang-undang pembiayaan politik secepat mungkin kerana draf undang-undang telah wujud sejak sebelum pentadbiran Pakatan Harapan, cuma masih belum didedahkan kepada umum.


"Undang-undang pengisytiharan aset ini akan dibentangkan untuk menghalang aliran kekayaan rahsia dan haram.


"Misalnya (jika RUU itu wujud) semua ahli politik yang dinamakan dalam perbicaraan Ahmad Zahid Hamidi perlu menjelaskan penerimaan dana mereka daripada UKSB dan bagaimana wang itu digunakan. Penafian semata-mata hanya akan membawa kepada defisit amanah," kata C4 lagi.


Selain itu C4 juga meminta pertanggungjawaban sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak segera menyiasat beberapa tokoh politik didedahkan oleh UKSB, sedangkan maklumat tersebut telah diperolehi mereka ketika sesi soal siasat bertahun lalu.


Di samping itu C4 juga mahu Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) bertindak menyiasat perkara berkenaan dan memastikan mengapa SPRM tidak melancarkan siasatan terhadap ahli politik lain walaupun mengetahui kandungan lejar itu terlebih dahulu.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER