Gubal 'Dasar Anti-Buli Sekolah', anjur kempen kesedaran tolak jenayah buli
- Suara Keadilan
- 9 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Usaha membanteras gejala buli di sekolah menuntut pendekatan holistik dan berterusan melalui pelaksanaan langkah strategik oleh pihak sekolah, ibu bapa dan penglibatan aktif komuniti bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan harmoni.
Bagi Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Klang Utara, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar terdapat beberapa tindakan yang patut dilakukan golongan berkenaan bertujuan membendung masalah buli melibatkan pelajar.
Langkah pertama katanya, adalah Dasar Anti-Buli Sekolah perlu digubal secara rasmi dengan pendekatan yang jelas dan tegas terhadap semua bentuk jenayah buli.
''Dasar ini hendaklah merangkumi makna menyeluruh mengenai buli, termasuk kategori seperti buli fizikal, verbal, siber dan sosial, dan menetapkan hukuman yang akan dikenakan.

''Selain itu, perlu disediakan satu prosedur pelaporan dan penyiasatan yang mudah dan telus.
''Kedua, mengadakan kempen kesedaran anti-buli secara berterusan sepanjang tahun merangkumi ceramah, bengkel dan forum pendidikan yang memberi penekanan terhadap kesan negatif buli serta kaedah pencegahannya.
''Di samping itu, murid juga perlu dididik tentang empati, tolak ansur, dan kemahiran sosial melalui Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Moral, atau Pendidikan Islam,'' katanya dalam satu kenyataan.
Mencadangkan lebih lanjut, mantan ADUN Meru itu berkata, guru dan kakitangan sekolah perlu diberikan latihan khas bagi mengenal pasti tanda-tanda buli sekali gus menangani aduan buli secara profesional dan beretika.
Katanya pihak sekolah perlu mengadakan perjumpaan berkala dengan ibu bapa untuk berkongsi maklumat tentang tingkah laku anak-anak.
''Selain itu, memberi ibu bapa alat dan panduan untuk mengenal pasti jika anak mereka menjadi mangsa atau pembuli.
''Seterusnya jalinkan kerjasama dengan agensi luar seperti kaunselor, polis komuniti, dan NGO,'' ujarnya lagi.
Mohd Fakhrulrazi menyifatkan, kes kematian beberapa pelajar di pusat pengajian atau sekolah bukan sahaja amat membimbangkan, tetapi memerlukan tindakan serius dan mendesak bagi menyelamatkan anak muda daripada budaya ganas dan tidak bertamadun.