Gubal Akta Kebebasan Maklumat: Anti-rasuah masuk fasa reformasi menyeluruh
- Suara Keadilan
- Jul 15
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Usaha membanteras rasuah di negara ini memasuki fasa reformasi menyeluruh apabila kerajaan memperkenalkan langkah-langkah konkrit bagi memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah itu termasuk penggubalan Akta Kebebasan Maklumat yang dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini serta pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
"Kita dalam proses memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat bagi memberi akses sebenar kepada rakyat terhadap keputusan kerajaan.
"Ini penting untuk membina keyakinan dan menggalakkan penyertaan rakyat secara bermakna dalam demokrasi," katanya ketika berucap pada Persidangan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia 2025 di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata pindaan menyeluruh dilakukan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menghapuskan beberapa kekangan yang termasuk pengecualian tertentu yang mengehadkan perlindungan kepada pelapor.
"Kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang bebas bagi memastikan perlindungan ini benar-benar dilaksanakan dan tidak bersifat kosmetik semata-mata," katanya.
Perdana Menteri berkata segala usaha ini sejajar dengan matlamat negara untuk memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) global, dengan sasaran untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2033, seperti yang digariskan dalam Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2024–2028.
"Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam isu integriti. Kita mahu membawa semula nilai kejujuran dalam institusi awam dan swasta, dan menjadikan budaya integriti sebagai teras Malaysia MADANI," tegasnya.
Beliau menekankan bahawa rasuah bukan hanya melemahkan ekonomi dan meminggirkan rakyat malah merosakkan asas moral masyarakat serta melebarkan jurang ketaksamaan sosial.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia kini memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Parti Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) bagi sesi ke-13, satu pencapaian bersejarah buat negara.
"Peranan ini bukan simbolik. Ia menjadi bukti kepada komitmen Malaysia untuk memimpin dan menunjukkan teladan dalam usaha membanteras rasuah di peringkat serantau dan global," katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyeru sektor swasta, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar tampil sebagai rakan kongsi kerajaan dalam memperkukuh budaya integriti korporat.
"Kami mengalu-alukan syarikat yang telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat dan mengamalkan prinsip tadbir urus yang telus dan beretika. Ia harus menjadi budaya industri, bukan sekadar syarat pematuhan," katanya.
Comments