GRM sokong Anwar PM ke-9, tuntut kerajaan kukuh, stabil



Malaysia tidak akan bergerak menuju status negara maju dengan kerajaan Perikatan Nasional yang rapuh sebagaimana hari ini.


Menurut Penyelaras Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Mustaffa Kamil Ayub, Malaysia harus mempunyai seorang pemimpin yang disegani di peringkat antarabangsa dalam usaha menyelesaikan kemelut kemerosotan ekonomi serta pandemik Covid 19 yang belum berakhir.


Sehubungan itu, katanya, GRM menyokong penuh kepimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan telah mendapat sokongan terbanyak Ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk mengambilalih pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri ke 9.


"GRM yakin seperti sidang media oleh Datuk Seri Anwar, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada 23 September 2020, bahawa beliau mempunyai majoriti yang kukuh serta majoritinya di kalangan Ahli Parlimen muslim adalah sesuatu yang benar dan bukannya gimik politik.


"GRM yakin pembentukan kabinet baharu kerajaan Malaysia dengan mandat yang lebih mantap mampu mewujudkan kestabilan politik sekaligus mengatasi pelbagai kemelut semasa. Ini sangat penting dalam menangani masalah ekonomi negara kesan Covid-19


"Dengan perkembangan politik terkini, GRM yakin DYMM Agong akan membuat pertimbangan yang cukup bijaksana dan memberi keutamaan kepada semangat serta hasrat rakyat sewaktu PRU 14 lalu," kata Mustaffa dalam satu kenyatan.


Selain itu, Presiden Persatuan Rapat Rakyat itu juga berkata, GRM mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong yang dilaporkan gering semenjak 21 September lalu akan kembali sihat dan mampu melaksanakan tugas-tugas negara dengan penuh hikmah.


"GRM dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kehadrat Allah swt semoga dikurniakan kesihatan dan keselamatan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, setelah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) tempoh hari," katanya lagi.


Mustaffa turut mengumumkan GRM akan menganjurkan aktiviti solat hajat dan flashmob di seluruh negara bertujuan mendesak agar kemelut politik tanah air dapat diselesaikan segera.


Untuk rekod, GRM merupakan gabungan 10 NGO reformasi seperti Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT), Pro98 Reformis, Otai Reformis, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM), Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (PAHLAWAN), Persatuan Media Sosial Malaysia (PEMASSA), Gerak Aktif Sosioekonomi Amal Kebajikan (GASAK) dan Pertubuhan Gerakan Pejuang Negara Malaysia (GMPN) yang menuntut urustadbir lebih baik bagi kerajaan Malaysia. Gabungan ini ditubuhkan pada Julai 2020 lalu.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio