Gotong royong membersih Sungai Ampang sebulan sekali yang dicadangkan oleh Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail baru baru ini disambut oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta beberapa NGO lainnya.
Rodziah berkata, beliau menetapkan hari Ahad terakhir setiap bulan sebagai hari MPAJ dan beberapa NGO alam sekitar khususnya, Friends of Sungai Ampang (FoSA), Persatuan Lestari Alam Malaysia dan beberapa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Ampang bersama IKRAM bekerjasama menganjurkan inisiatif KUDAH (kutip sampah sambal riadah) bagi memastikan kebersihan sungai terjaga.
"Edisi kedua acara kali ini dihoskan oleh Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 10. Sekali lagi diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Ir Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta para pegawai dari KASA, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), National Hydraulic Research Institute of Malaysia (NAHRIM)," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama juga ditunjukkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Ampang, dan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Pertanian Malaysia
Menurut Rodziah, gotong royong itu bertempat di belakang Laman Niaga @ Ampang Waterfront di mana terletaknya Pusat Khidmat Rakyat (PKR) Penyelaras Parlimen Ampang, seramai lebih kurang 200 orang, terutama dari komuniti Ampang semuda usia tiga tahun sehinggalah warga emas lingkungan usia 70an
"Warga Ampang prihatin dengan kemampanan pengurusan sungai kerana mereka menyedari salingkaitnya dengan kelestarian sosioekonomi.
"Mereka beramai-ramai menyertai edisi kedua pembersihan dan pengindahan Sungai Ampang dan kawasan sekitar secara berperingkat yang antara lain bertujuan membersihkan lembangan sungai yang tercemar, memulihkan habitat semulajadi flora dan fauna serta menghidupkan semula aktiviti tebing sungai bagi masyarakat setempat," katanya.
Tambah Rodziah lagi, banjir kilat berlumpur pada 22 November lalu di Kampung Pinggir Tiga dan Kampung Lembah Jaya Utara dengan pelbagai impak negatif ke atas penduduk setempat wajar dijadikan iktibar betapa mendesaknya agar masyarakat berganding bahu memelihara dan memulihara sungai serta anak sungai.
"Memandangkan kegagalan projek pembinaan Lebuhraya EKVE mematuhi beberapa peraturan dan syarat yang ditetapkan telah dikenalpasti turut menyumbang kepada banjir mengejut yang terakhir berlaku di Ampang pada tahun 2012, saya menuntut agar pihak berkuasa melaksanakan pemantauan dan pengawasan pematuhan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan alam sekitar yang ketat terhadap semua projek pembangunan dalam apa jua bentuk dan saiz.
"Seterusnya, dalam kerangka memelihara kelestarian, menjaga kebersihan dan mengindahkan sungai, pihak PKR Penyelaras Parlimen Ampang akan mencipta pautan khusus menggunapakai platform WhatsApp dan Telegram dalam usaha membina skuad sukarelawan “Cintai Sungai Ampang” yang boleh diperluaskan untuk manfaat seluruh negeri Selangor," katanya lagi.
Dengan penyertaan dua kali ganda lebih besar pada kali ini, Rodziah berharap edisi-edisi berikutnya akan menjadi pemangkin kesedaran dan tindakan ke arah menjamin pematuhan 'Matlamat Pembangunan Lestari' dan mengelakkan malapetaka banjir daripada berlaku.
Commenti