
Gotong Royong Perdana yang bakal dianjurkan di Parlimen Sungai Petani akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
Hal itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (beruniform pengakap) selepas usai bermesyuarat bersama agensi kerajaan, semalam.
"Saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Program Gotong Royong Perdana anjuran Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani yang akan diadakan di Flat Paya Nahu yang merangkumi dua blok, iaitu PPR Harmoni dan PPR Damai.
"Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Daerah Kuala Muda ini turut melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Pejabat Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Perpaduan Negara, SWCorp, E-Idaman, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan wakil dari Persatuan Penduduk.
"Pengisian dalam pertemuan ini lebih memfokuskan mengenai peranan dan persiapan semua pihak yang terbabit," katanya.
Tambah beliau, semua agensi penting tersebut akan turun padang pada hari gotong royong bagi mencapai objektif membersih dan memperbaiki persekitaran kawasan perumahan berkenaan.
"Kesemua agensi-agensi yang terlibat akan bersama mengembeleng tenaga, bekerjasama dan melibatkan diri secara menyeluruh bagi memastikan program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar," katanya lagi.