
Bank Negara Malaysia (BNM) menyelar platform berita Google kerana menyiarkan data tukaran matawang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) yang tidak tepat buat kali kedua.
Menurut kenyataan BNM, kadar tukaran yang tersebut yang tersiar di media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google pada 15 Mac lalu.

"Maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.
"Semalam (15 Mac), kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM," kata kenyataan itu.
Menurut BNM, sepanjang dua minggu lalu iaitu 1 hingga 15 Mac 2024, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76% berbanding dolar AS.
"Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024.
"BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024.
"Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku dan langkah-langkah pembetulan yang dibuat, memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Justeru, BNM menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada data rasmi berhubung kadar semasa tukaran ringgit berbanding USD, termasuk data daripada BNM.
"Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit.
"Kadar pertukaran ialah data yang peka pasaran dan sebarang laporan yang tidak tepat serta penyebaran data yang tidak disahkan boleh mengakibatkan implikasi yang serius terhadap pasaran kewangan," kata kenyataan itu lagi.
Pada 15 Mac lalu, Google melaporkan tukaran ringgit per USD mencatat kadar paling rendah sepanjang sejarah, iaitu pada RM4.98 berbanding USD1.
Pelaporan itu menimbulkan spekulasi dan keresahan awam berhubung prestasi ringgit, biar pun pada faktanya ringgit sedang mengukuh.
Comments