Golongan elit ditegur bantah projek perumahan rakyat
- Suara Keadilan

- Jun 25
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar menegur golongan elit di bandar raya yang kadang-kala membantah pelaksanaan projek perumahan rakyat dengan alasan ia menganggu keselesaan yang mereka nikmati.
Perdana Menteri berkata golongan tersebut perlu memberikan kerjasama dengan memahami kedudukan masyarakat bawahan yang tidak sewajarnya dipinggirkan.
"Kita bangunkan beberapa-beberapa projek perumahan MADANI di mana bantahan itu dari golongan elit. Saya minta mereka faham dan (beri) kerjasama. Tentunya kita mengambil kira supaya jangan tergugat, terganggu sangat kedudukan mereka. Tetapi mereka harus fikir, di mana hendak letak orang ini?
"Apabila kita perkenalkan Perumahan Rakyat dalam keadaan yang kekangan yang ada, kita hadapi juga masalah kerana elit yang sudah selesa hidup dalam keadaan yang tersendiri dan mewah, dia tidak mahu diganggu.
"Dia lupa bahawa bila kita mengambil tanah dahulu peringkat awal itu, kita tidak mengambil kira kedudukan rakyat bawahan, tetapi sekarang apabila dengan keadaan terbatas begitu, dia rasa ada tekanan," katanya ketika berucap melancarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 di Kuala Lumpur semalami.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa pelan pembangunan ibu kota tersebut memberikan tumpuan kepada usaha menyantuni golongan berpendapatan rendah, pekerja dan peniaga kecil yang turut mahu hidup selesa.
Sambil mengakui bahawa pelan tersebut tidak dapat memenuhi hasrat semua pihak, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarahkan agar mengambil kira pandangan semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen, tokoh berkepentingan dan pengusaha.
"Sebab itu saya agak berkeras dalam soal ini tentang perumahan rakyat. Di mana kita nak pastikan orang-orang yang berpendapatan rendah hidup dengan agak sedikit selesa? Kita kena bangunkan semula. Kita mahu mereka merasakan mereka juga warga Kuala Lumpur, bukan warga terpinggir di Kuala Lumpur," katanya.
"Jadi sebab itu saya usulkan supaya Datuk Bandar, Menteri dan Pengarah terus menyantuni perbincangan yang agak teliti, walaupun pada akhirnya kita mungkin tidak bersetuju tetapi harus dengar semua pihak.
"Dan percayalah, pihak yang paling rendah darjatnya dalam mana-mana kawasan itu, paling kecil pengaruhnya, dan di situlah peranan kita, pimpinan politik dan pengurus untuk memastikan ada keadilan terhadap mereka. Itu perkara yang kedua saya nak tekankan," ujarnya.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengingatkan agar pihak berkuasa tempatan tidak mengulangi kecelaruan yang wujud dalam pembangunan di Kuala Lumpur seperti memberikan kelulusan yang tidak sepatutnya kepada sesuatu pembangunan.
"Kuala Lumpur ini dibangunkan tidak sebagai kota yang tersusun dan moden. Dia mengikut masa, dan pelan-pelan itu kadang-kadang cacamarba. Perumahan-perumahan kadang dibangunkan tanpa mengambil kira soal keselesaan, soal hijau, soal padang. Bangunan-bangunan didirikan tanpa mengira kesesakan yang menghimpit jalan-jalan.
"Saya tahu, saya pernah duduk di Segambut. Saya tidak mengerti mengapa kelulusan boleh diberikan dengan cara yang sedemikian. Maknanya tidak ambil kira langsung. Ini melibatkan apa yang kita bicarakan sebagai isu tadbir urus (tatakelola).
"Kita boleh adakan pelan struktur, pelan itu harus membantu mengatur, meletakkan asas-asas yang penting tetapi terikat pada pengurusan yang baik, tidak melanggar peraturan-peraturan yang dikenalkan. Kalau tidak, kita ulangi kecelaruan yang lalu," ujarnya.









Comments