
Negeri Sembilan hampir mencapai 100 peratus vaksinasi lengkap apabila telah mencecah 98.5 peratus bagi golongan dewasa setakat 7 Oktober 2021.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sembilan telah mula menutup beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam secara berperingkat.
"Sejak 20 September 2021 yang lalu, sebanyak 11 PPV Awam telah ditutup manakala sebuah PPV Awam telah diteruskan operasi dibawah Kementerian Kesihatan bagi program vaksinasi remaja iaitu Dewan Kompleks Belia dan Sukan Paroi.
"Mewakili seluruh rakyat Negeri Sembilan, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada CITF Negeri, CITF Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Kementerian Belia dan Sukan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan agensi serta semua sukarelawan kesihatan dan bukan kesihatan yang bertungkus-lumus merealisasikan sasaran liputan vaksin ke seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata, kadar liputan yang tinggi berjaya dicapai kerana semua pihak memberikan komitmen begitu tinggi dalam menyampaikan vaksin kepada masyarakat, termasuklah bekerja sewaktu hujung minggu dan melaksanakan pelbagai program outreach bagi individu yang sukar untuk hadir ke PPV.
"Terima kasih juga saya ucapkan seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kerjasama baik yang diberikan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.
"Insya-Allah, semoga rakyat Negeri Sembilan terus dilindungi daripada pandemik Covid-19," katanya.
Comments