Oleh: Abdullah Zaid
Sempena Hari Wanita, Forum Pimpinan Global Wanita (GLOW 2024) dilancarkan hari ini bagi memperkasakan peranan golongan berkenaan dalam dan luar negara.
Pengerusinya Fuziah Salleh berkata, himpunan sulung rasmi itu antara lain bagi mengangkat martabat kaum berkenaan yang juga melibatkan peserta daripada luar negara.
"Isu berkaitan nasib wanita sememangnya perlu diambil serius dan pembabitan kaum wanita secara global perlu dilakukan bagi memastikan martabat kaum itu diangkat.
"Justeru saya berharap forum ini akan menjadi penghubung kepada wanita lain di seluruh dunia," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Mengulas lanjut mengenai program susulan, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, penyertaan ke dalam badan itu terbuka kepada semua wanita.
Tambah Fuziah, pihaknya mengalu-alukan kepada mana-mana pertubuhan wanita untuk membuat kolaborasi supaya agenda golongan berkenaan diangkat dan terus dibela.
Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang serta memperjuangkan hak golongan berkenaan.
Sambutan berkenaan juga memastikan wanita diberi tempat selayaknya untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat mampan.
Comments