GISBH: Program pemulihan bekas pengikut rangkum pelbagai aspek - MAIS
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Program pemulihan akidah bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dilaksana dengan merangkumi pelbagai aspek dan tidak hanya tertumpu kepada tajwid.
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Riqab pada 4 Februari lalu telah meluluskan program pemulihan akidah bekas ahli GISBH menerusi Program Insan Rabbani.
Program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dilaksanakan bermula 15 Februari itu meliputi segenap aspek termasuk pengajian al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah.
"Program ini bertujuan memulihkan akidah ahli GISBH selaras fatwa Selangor yang diwartakan pada 16 Oktober 2024 iaitu fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata begitu sebagai menepis hantaran tidak berasas di media sosial yang menyatakan proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid semata-mata,
Sementara itu tambahnya, Program Insan Rabbani melibatkan 24 siri, selama empat jam setiap Ahad di empat lokasi iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Rawang; Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam; SRA Sijangkang, Kuala Langat dan SRA Sungai Kantan, Kajang.
"Sebanyak 51 guru bertauliah terlibat dengan program ini dan pengisian program merujuk kepada Modul Istitabah yang diluluskan Mais pada 2013 yang memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah kepada individu dewasa bekas ahli GISBH.
"Bagi pengajian al-Quran, peserta belajar mendalami ilmu al-Quran termasuk tajwid untuk memahami al-Quran dan menambah baik bacaan al-Quran.
"Manakala, pengajian akidah merangkumi asas ilmu akidah dan pemahaman yang benar tentang sifat Allah, Rasul serta yang berkaitan dengannya, pengajian tasawuf merangkumi penyucian hati dan sifat mahmudah serta pengajian fikah pula merangkumi solat dan perkara berkaitan berdasarkan mazhab Imam Syafie," tambahnya.
Baru-baru ini tular tangkap layar di media sosial mendakwa program pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid yang menimbulkan reaksi pelbagai pihak.
Sehubungan itu Ahmad Shahir mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan atau tohmahan terhadap Mais bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam.