Kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings (GISBH) September tahun lalu telah menunjukkan perkembangan positif.
Exco Agama Islam Negeri, Dr Fahmi Ngah dipetik laporan Selangorkini memaklumkan, seramai 124 kanak-kanak masih berada di bawah pemantauan jawatankuasa khas yang ditubuhkan dan mereka menunjukkan pemulihan dari segi akidah dengan kembali mengikut ajaran agama sebenar.
"Tiada lagi amalan atau perilaku seperti menunaikan solat sekali sehari dengan menghimpunkan 17 rakaat pada satu-satu masa seperti ketika awal penjagaan.
"Dahulu itu amalan mereka, solat sekali sehari campurkan semua rakaat sembahyang dari Subuh sampai Isyak.
"Mereka juga taksub dengan Abuya sampai tidak benar kita tukarkan pakaian, kopiah kerana percaya ada berkat Abuya. Sekarang semua berubah dan mereka boleh berkomunikasi dengan baik," katanya.
Selain itu Dr Fahmi turut memaklumkan, fizikal kanak-kanak terbabit turut menunjukkan perkembangan baik susulan pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan.
Pihak kerajaan negeri juga jelasnya memastikan kanak-kanak terbabit mendapat nutrisi lengkap bagi memastikan pertumbuhan mereka seimbang.
Untuk rekod, pihak polis melancarkan serbuan terhadap 20 premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada September lalu selepas mengesyaki kumpulan itu membuat kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
Hasil serbuan itu 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Sementara itu Dr Fahmi menjelaskan, 124 kanak-kanak terbabit masih dalam jagaan Kerajaan Negeri susulan ibu bapa atau penjaga sah mereka gagal dikesan selain tiada pihak yang hadir menuntut mereka.
Beliau memaklumkan, tempoh penjagaan kanak-kanak terbabit tamat hujung bulan ini dan pihaknya akan membuat permohonan lanjutan kepada mahkamah jika perlu.
댓글