Idealisme perjuangan parti perlu digilap kembali pasca setahun pencaroba melanda parti.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuh hujah mengapa perlunya idealisme diutamakan dalam keadaan kerajaan memerintah sudah di hujung tanduk dan pelbagai perkara boleh berlaku.
Katanya, beliau tidak jemu mengungkap mengenai idealisme perjuangan biar pun ada pihak yang bosan mendengar.
"Dasar perjuangan tidak boleh lari dari idealisme dan prinsip. Ada yang bosan dengar. Saya ingat lagi dulu saya katakan bila kita ada kuasa jangan kita terpukau dengan kilauan harta dan kegemerlapan kuasa.
"Ada yang tersinggung. Saya kata tidak aneh kalau yang tersinggung itu orang lain. Ini orang bersama perjuangan reformasi tersinggung bila disentuh tentang terpukau seorang ketua kerana kilauan harta dan majlis yang hebat. Maknanya semangat dan idealisme itu tidak diresapi . Ini masalah moral dan etika, masalah akhlak.
"Sebab itu kita tidak kompromi dengan rasuah. Apakah ini bermakna KEADILAN tidak terjejas dengan serangan ini? Tidak boleh. Sebab bila berbicara tidak semua yang mampu menghayatinya bila ada kuasa.
"Sebab itu kita dulu bersatu, bersaing dengan segala kepayahan dan penyiksaan. Kita lebih berhasil dan lulus ujian itu. Tetapi sebaik sahaja kita diuji dengan sedikit kuasa, kita tercemar kerana kalah dengan kuasa," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN, petang tadi.
Anwar menegur pemimpin yang mula berubah biar pun mendapat sekelumit kuasa. Ada tidak berpuas hati apabila tidak dipangggil Yang Berhormat. Budaya seperti itu, katanya tidak boleh diterima dalam parti.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan umur bukanlah ukuran untuk menjadi pemimpin berjaya dalam KEADILAN. Sekiranya layak, maka seseorang itu akan ditonjolkan. Begitu juga kalangan anggota wanita dan anak muda.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran agar ahli dan pimpinan KEADILAN tidak terlalu taksub dengan ketua atau cuba membentuk kabilah.
"Kita ini kadang kala terlalu taksub dengan ketua. Sama ada saya atau mana-mana ketua. Lalu pemikiran kita itu tidak lagi taat kepada jemaah, tetapi kita izinkan wujudnya kelompok. Kadang kala keputusan jemaah boleh dicari helah keluar.
"Oleh itu mutakhir ini saya agak keras keputusan untuk diikuti. Kalau tidak setuju kita bawa dalam perbincangan, baru ada kekuatan.
"Kita kena rangkul semua. Kita ada pengalaman lalu orang khianat. Tetapi kita tidak boleh ambil keputusan saya tidak khianat, orang lain ada kemungkinan khianat.
"Akhirnya parti akan berpecah. Saya juga tidak boleh tentukan orang bagi kata dua, sama ada kamu terima orang itu atau kami tolak parti. Atau mesti tolak orang itu baru kami sertai. Ini bukan jemaah parti. Yang tentukan akhirnya ahli. Kalau mereka pilih dalam proses demokratik kita harus rangkul," katanya.
Anwar menekankan, para rakan-rakan dan penyokong pimpinan yang telah berkhianat tetapi masih kekal bersama perjuangan KEADILAN tidak boleh disisihkan atau menjadi bahan prasangka.
Katanya, hanya individu yang melanggar peraturan parti sahaja boleh diambil tindakan, bukan sebaliknya.
"Orang yang dulu katakan bersekongkol dengan kartel harus diberi ruang untuk bersama tanpa prasangka. Melainkan mereka itu nyata terbukti mengambil tindakan melanggar peraturan parti.
"Dan mereka juga harus ingat dengan sejarah lampau itu yang menimbulkan sedikit kerisauan, melainkan mereka berbuat sesuatu dalam langkah dan tindakan (memperbaiki keadaan)
"(Oleh itu), dalam setahun parti tidak mengambil sikap terlalu keras dalam kalangan yang mahu memperkuatkan parti," katanya lagi.
Anwar menyeru agar Wanita, AMK, Srikandi, Cabang, Ranting untuk 'satu suara, satu saf, satu kekuatan' dan buktikan KEADILAN kembali kukuh
Beliau juga membayangkan KEADILAN yang terus bersama Amanah dan DAP akan sekali lagi membentuk kekuatan yang digeruni musuh menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
Comentarios