Gesaan Pemuda UMNO keluar Kerajaan Perpaduan tidak bertanggungjawab
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read
Updated: 1 day ago

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh yang secara terbuka menggesa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan bergabung dengan Pas sebagai retorik politik yang tidak bertanggungjawab serta berpotensi mengelirukan rakyat.
Timbalan Ketua Penerangan AMK Melaka, Ezal Zamri (gambar) berkata, gesaan tersebut bukan sahaja bersifat provokatif malah menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar di sebalik tekanan politik yang berat sejak kebelakangan ini.
"Lebih membimbangkan timbul persoalan sama ada kenyataan dan tekanan politik yang semakin melampau ini ada kaitan dengan perkembangan terkini melibatkan dua keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Presiden UMNO sehingga mencetuskan tindak balas politik berbentuk emosi dan agresif," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ezal, hakikat yang tidak boleh disangkal ialah Pemuda UMNO tidak mempunyai mandat rakyat selepas gagal memenangi walau satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2022 lalu.
Tanpa mandat demokrasi, ujarnya, Pemuda UMNO seharusnya lebih bermuhasabah dan bertanggungjawab, bukannya bertindak seolah-olah mempunyai kuasa menentukan hala tuju kerajaan atau menggugat kestabilan politik negara.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan dibentuk atas kehendak rakyat dan keperluan negara bagi menjamin kestabilan pentadbiran, pemulihan ekonomi serta kebajikan rakyat.
"Kerajaan Perpaduan bukan medan untuk mengalihkan perhatian daripada isu dalaman parti atau perkembangan peribadi mana mana tokoh politik melalui naratif ugutan keluar masuk kerajaan yang bersifat sensasi," katanya.
Sehubungan itu, Ezal menggesa Pemuda UMNO supaya memberi tumpuan kepada usaha membina semula keyakinan dan kepercayaan rakyat sekiranya benar-benar ikhlas memperjuangkan kepentingan awam.
"Fokus utama seharusnya diberikan kepada usaha membina semula keyakinan rakyat dan memperkukuh kepercayaan awam, bukan terus bermain politik emosi dan provokasi murahan," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa negara memerlukan kematangan politik serta kepimpinan berprinsip demi kepentingan jangka panjang rakyat dan negara.
"Negara ini memerlukan kematangan politik dan kepimpinan yang berprinsip, bukan reaksi berlebihan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara," katanya.





