Gesaan Nurul ukur tanah adat Sarawak selaras perlembagaan parti - Abun
- Suara Keadilan
- Jul 1
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit (gambar) menyifatkan seruan Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar berhubung isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya selari dengan tuntutan masyarakat Orang Asal di negeri itu yang memerlukan pembelaan segera agar tanah warisan mereka diukur.
Beliau yang menyokong penuh gesaan itu berkata, masih banyak kawasan seperti Belaga, Baram, Ulu Tinjar dan Sri Aman mencatatkan ribuan permohonan pengukuran tanah adat yang tertangguh, selain aduan mengenai pemberian tanah secara bertindih kepada pihak luar sebelum hak adat disahkan.
''Seruan oleh Nurul Izzah itu juga selari dengan perlembagaan parti (KEADILAN) yang memberi jaminan dan melindungi hak Orang Asal ke atas tanah adat mereka.
''Fasal berkenaan isu ini dalam perlembagaan parti menyebut untuk meningkatkan mutu hidup Orang Asal di samping menghormati adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke atas tanah adat,'' katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abun lagi, kenyataan Nurul Izzah selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perkara 13 iaitu hak terhadap harta milik adat yang diwarisi sah di sisi undang-undang.
Perkara 153 pula katanya, menyebut berkaitan kedudukan istimewa Bumiputera termasuk Orang Asal Sarawak dalam urusan tanah dan pembangunan.
''Perkara 161A adalah tentang pengiktirafan Perlembagaan terhadap status 'native' dan hak ke atas tanah adat mereka.
''Berlandaskan semangat MoU Kerajaan Perpaduan bertarikh 16 Disember 2022, saya menggesa agar pihak berkuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus bekerjasama dan agensi pelaksana berkaitan untuk mempercepatkan penyukatan permohonan NCR yang masih dalam senarai menunggu.
''Selain itu, saya menggesa menerbitkan data status ukur secara suku tahunan mengikut bahagian dan daerah dan seterusnya menjalankan sesi libat urus aktif dengan wakil komuniti Orang Asal agar proses ini dijalankan secara adil, tanpa diskriminasi dan ketirisan,'' ujarnya lagi.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu menambah, Kerajaan Negeri Sarawak juga boleh menggunakan sebahagian kecil daripada simpanan negeri berjumlah RM30 bilion untuk membantu menampung kos menyukat tanah adat di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak untuk Bumiputera, termasuk semua etnik dalam kumpulan Dayak.
Abun menyifatkan, NCR bukan sekadar sumber ekonomi tetapi turut mencerminkan maruah, sejarah dan kesinambungan identiti masyarakat Orang Asal di Sarawak.
Justeru kata beliau, segala usaha penyukatan tanah adat perlu dilaksanakan segera, secara adil dan terbuka selaras dengan prinsip Malaysia MADANI serta semangat Perlembagaan Persekutuan.
Untuk rekod, berdasarkan respons yang diberikan oleh pemimpin Kerajaan Negeri Sarawak, sehingga April 2025 kira-kira 1.2 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah disukat di bawah inisiatif New Initiative NCR Land Survey Programme yang dimulakan sejak Oktober 2010.
Daripada jumlah tersebut 935,760 hektar telah digazetkan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Seksyen 6), dan 120,608 hektar disukat sebagai lot individu (Seksyen 18), melibatkan 101,271 lot (SUMBER UKAS).
Comments