Gesa PM direhatkan ancam prinsip perundangan negara
- Suara Keadilan
- Jun 7
- 2 min read

Kenyataan oleh Ketua Srikandi Muda Bersatu yang menggesa Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim direhatkan daripada menjalankan tugas rasmi kononnya demi menjaga maruah pentadbiran dan prinsip integriti adalah tidak berasas dan bersifat menunggang proses undang undang.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Hanani Dhamirah, gesaan tersebut amat tidak wajar kerana PM pada waktu ini menghadapi saman sivil dari Yusoff Rawther dan bukannya menghadapi dakwaan kes jenayah yang sewajarnya mengambil cuti.
"Kes sivil tidak membawa maksud kesalahan telah berlaku atau wujud pendakwaan, sebaliknya adalah satu tindakan undang- undang berdasarkan tuntutan peribadi antara individu.
"Perdana Menteri juga telah mengambil langkah bertanggungjawab dengan membawa isu perundangan yang kompleks ini untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Permohonan yang ditolak langsung tidak membawa maksud bersalah.
"Sebaliknya tindakan itu menunjukkan kepercayaan beliau terhadap sistem kehakiman dan kesediaan beliau untuk mematuhi segala proses perundangan tanpa campur tangan atau kekebalan luar biasa," katanya dalam kenyataan.
Tegas Hanani, amat tidak wajar pemimpin nombor satu negara dihalang daripada menjalankan tugasnya rasminya berdasarkan dakwaan sivil yang belum dibuktikan, sekaligus membuka ruang kepada berlakunya manipulasi undang-undang demi menjatuhkan mana-mana pemimpin melalui tuduhan semata- mata.
Katanya, pada masa sama PM telahpun menjamin bahawa beliau membuka ruang seluas-luasnya untuk proses keadilan berjalan tanpa gangguan. Hal ini, kata Hanani, jelas adalah satu bentuk cerminan sebenar akauntabiliti dan integriti.
"Srikandi Muda Bersatu perlu malu kerana telah mengeluarkan kenyataan terbuka yang mengelirukan rakyat dan mencemarkan institusi demokrasi. Sesungguhnya, kepentingan negara tidak harus dijadikan alat polemik politik murahan," katanya lagi.
Selain itu, terdapat juga hujah sekiranya kes Anwar terkait Yusof Rawther tersebut kukuh maka tentu sekali Kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022) akan bertindak terhadap Ketua Pembangkang ketika itu untuk menyingkirkannya dari saingan politik merebut kerusi perdana menteri apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020.
Comments