Gesa moratorium KWSP, operasi nelayan terjejas - Tan Kar Hing
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan disaran mempertimbangkan moratorium pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing dalam sektor perikanan bagi menilai semula mekanisme potongan agar lebih adil dan praktikal.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing (gambar) berkata sistem penggajian dalam sektor perikanan berbeza dengan industri lain kerana pekerjanya dibayar berdasarkan hasil tangkapan dan beroperasi menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara selama enam bulan.
"Jika majikan diwajibkan membayar caruman tetap dua peratus, ia akan memberi beban tambahan yang tidak realistik, menjejaskan operasi nelayan dan mengurangkan jumlah bot yang beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kar Hing menegaskan pelaksanaan moratorium itu penting bagi menjamin kesinambungan operasi industri perikanan serta kestabilan rantai bekalan ikan negara.
Selain itu, beliau turut menggesa supaya subsidi diesel untuk bot C2 dikembalikan segera kerana penghapusan bantuan berkenaan telah meningkatkan kos operasi, mewujudkan ketidakseimbangan harga antara Zon A dan C serta menyebabkan banyak vesel tidak mampu beroperasi atau terpaksa dijual.
"Langkah itu secara tidak langsung menjejaskan pendapatan nelayan tempatan secara besar-besaran," ujarnya.
Dalam pada itu Kar Hing berkata prestasi sektor pertanian negara masih jauh daripada sasaran Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021–2030.
Katanya pengeluaran sayur-sayuran ketika ini hanya memenuhi 45 peratus keperluan nasional berbanding sasaran 70 peratus, manakala pengeluaran beras berada pada tahap 60 peratus (sasaran 75 peratus) dan pengeluaran ikan sekitar 60 peratus berbanding sasaran hampir 95 peratus.
"Bancian Pertanian 2024 menunjukkan hampir sembilan daripada 10 petani hanya berpendidikan rendah dan hanya sembilan peratus mempunyai pendidikan tertiari.
"Ini menjejaskan kemampuan mereka untuk mengadaptasi teknologi moden serta amalan pertanian pintar," katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap faktor penuaan dalam sektor tersebut apabila 40 peratus pekebun sayur berumur lebih 60 tahun dan hanya tiga peratus berumur bawah usia 30 tahun.
Kar Hing mendedahkan hanya 2.7 peratus petani beroperasi melalui koperasi, manakala 70 peratus tanah pertanian digunakan untuk kelapa sawit berbanding 16 peratus bagi tanaman makanan.
"Kita memerlukan penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas untuk memudakan sektor pertanian, meningkatkan literasi digital petani, membentuk koperasi tani dan menstruktur semula penggunaan tanah," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar laporan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Agromakanan Negara dibentangkan setiap tahun kepada jawatankuasa khas Parlimen bagi memastikan pemantauan berkesan.
"Saya menggesa kerajaan bertindak segera menangani isu asas ini supaya negara tidak terus bergantung kepada import makanan dan tenaga kerja asing. Ini bukan sekadar soal ekonomi, tetapi juga soal keselamatan dan sekuriti makanan negara," kata beliau lagi.





