top of page

Geran Padanan Latihan Industri libatkan 25,000 pelatih diperkenalkan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 6
  • 2 min read
DS Ramanan dalam sidang media memperkenalkan program LiKES di Mutiara Damansara
DS Ramanan dalam sidang media memperkenalkan program LiKES di Mutiara Damansara

Oleh: Akmal Manaf


Program Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) akan mula dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, program yang dilancarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu bakal memberi manfaat kepada seramai 25,000 pelatih tempatan.


"Ini adalah satu program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini. Prosesnya cepat iaitu hanya mengambil masa 14 hari bekerja berbanding 90 hari bekerja sebelum ini.


"Saya juga ingin umumkan sebanyak RM2,000 akan disalurkan secara pendahuluan bagi setiap pelatih yang terlibat sekiranya mereka lulus kriteria yang telah ditetapkan oleh TalentCorp.


"LiKES juga merupakan geran padanan berkonsep ‘pay and claim’. Dengan pelaksanaan konsep itu bermula 1 Mac 2026, syarikat boleh menerima bayaran tersebut dalam tempoh 14 hari bekerja mengikut syarat dan dokumen lengkap yang telah ditetapkan TalentCorp," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi dan mendengar taklimat di Ibu Pejabat TalentCorp, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.


Ramanan menambah, pihaknya turut mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi memperkukuh latihan serta menarik pulang bakat tempatan dari luar negara ke Malaysia.


Dalam sidang media sama, Pengerusi TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, keutamaan utama ketika ini ialah membina industri bernilai tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi negara, sekali gus menawarkan gaji lebih tinggi bagi meyakinkan bakat tempatan di luar negara bahawa wujud peluang kerjaya yang mampan untuk mereka kembali berkhidmat di tanah air.


"Ini amat penting dan merupakan misi utama kami. Justeru, tumpuan diberikan kepada usaha membantu syarikat pelabur asing atau tempatan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakat tempatan, termasuk bakat yang sedang mencari peluang kerjaya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page