Geran KRT RM10,000 perkukuh agenda perpaduan di peringkat komuniti
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Kenaikan geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai tahun hadapan dijangka memperkukuh pelaksanaan program perpaduan dan kesejahteraan komuniti di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, pengumuman Perdana Menteri tempoh hari dijangka akan memberi suntikan baharu kepada jentera perpaduan untuk terus mendekati masyarakat dan memperkukuh keharmonian di peringkat akar umbi.
"Pengumuman Perdana Menteri bulan lalu untuk menaikkan geran tahunan KRT daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai tahun hadapan akan membantu memperkukuh aktiviti perpaduan dan kesejahteraan komuniti," katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan di Seremban.
Menurut beliau, perpaduan sentiasa menjadi keutamaan kerana ia merupakan asas kepada keharmonian, kestabilan dan kemajuan negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
"Perpaduan amat saya titikberatkan kerana ia merupakan asas kepada keharmonian, kestabilan dan kemajuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta budaya," katanya.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah kerja beliau ke pejabat-pejabat JPNIN di seluruh negara.
Turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Zulkifli Hashim; Timbalan Ketua Pengarah JPNIN, Norzahiruddin Amin Husin; dan Pengarah JPNIN Negeri Sembilan, Marlina Termudi.
Dalam taklimat yang diberikan, Yuneswaran dimaklumkan bahawa jentera perpaduan di tujuh daerah di Negeri Sembilan digerakkan menerusi 365 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 337 Kelab Rukun Negara, 303 Skim Rondaan Sukarela, 120 Tabika Perpaduan, dua Taska Perpaduan, 28 Mediator Komuniti, 12 Sekretariat Rukun Negara dan tujuh Skuad Uniti.
Beliau berkata, rangkaian jentera yang meluas itu membolehkan pelbagai program perpaduan dilaksanakan secara berterusan bagi mengukuhkan hubungan antara masyarakat.
"Saya menghargai komitmen seluruh warga JPNIN Negeri Sembilan. Kementerian akan terus memperkasa setiap unit di bawah JPNIN agar kekal aktif, tersusun dan dekat dengan rakyat dalam membina Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni," katanya.




Comments