top of page

Geran hingga RM100,000 pacu persatuan belia, galak anak muda berorganisasi

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan menyediakan bantuan geran sehingga RM100,000 kepada setiap pertubuhan belia berdaftar bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berpersatuan dan melaksanakan aktiviti sihat serta produktif.


Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Sejati MADANI x Belia yang menyasarkan pertubuhan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia.


"Setiap persatuan belia yang berdaftar layak menerima bantuan atau geran sebanyak RM100,000 untuk menggerakkan aktiviti dan pembangunan belia," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media di Kelab Golf Negara Subang di sini semalam.


Ujarnya, daripada kira-kira sembilan juta belia di Malaysia, hanya sekitar satu juta terlibat dalam persatuan, manakala lapan juta lagi masih belum berorganisasi.


"Lapan juta belia inilah yang kita mahu tarik supaya bersama dalam satu wadah yang membina generasi cemerlang," katanya.


Beliau menegaskan kerajaan mahu menjadikan persatuan belia sebagai platform aktiviti sihat, pembangunan kemahiran dan kepimpinan golongan muda.


"Kita menggalakkan lebih ramai anak muda berpersatuan supaya mereka terlibat dalam aktiviti sihat, pembangunan diri dan kepimpinan," katanya.


Mohammed Taufiq berkata geran RM100,000 itu bukan sekadar bantuan sekali beri, sebaliknya bertujuan menjadikan persatuan lebih berdikari dan berdaya maju.


"Geran ini untuk memastikan anak muda boleh menjadi ‘business-minded’, mengurus projek atau perniagaan melalui persatuan mereka," katanya.


Beliau menjelaskan kerajaan menyasar sehingga 2,500 pertubuhan belia berpotensi menerima manfaat geran berkenaan di seluruh negara.


"Kita mahu pertubuhan belia berjaya dengan geran ini, malah mampu menjana pulangan lebih besar pada masa depan," katanya lagi.


Menurutnya, pertubuhan yang mengurus dana dengan baik berpotensi menggandakan hasil sehingga ratusan ribu ringgit setahun melalui aktiviti ekonomi belia.


"Mungkin daripada RM100,000 mereka boleh jana RM500,000, malah mencecah RM1 juta pada tahun berikutnya," katanya.


Selain geran, kementerian turut memudahkan proses pendaftaran dan pengurusan pertubuhan bagi menarik lebih ramai belia menubuhkan persatuan.


"Kita kini memberi pengecualian yuran pendaftaran kepada pertubuhan belia baharu bagi menggalakkan lebih ramai belia berpersatuan," katanya.


Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu kerajaan juga mengecualikan bayaran pindaan perlembagaan pertubuhan susulan penurunan had umur belia kepada 30 tahun dan ke bawah.


"Dulu pindaan perlu bayar, tetapi kini kita beri percuma supaya semua pertubuhan belia dapat menyesuaikan perlembagaan mereka," katanya.


Mohammed Taufiq menegaskan kementerian bukan sekadar menyalurkan dana, malah menyediakan latihan, bimbingan dan sokongan pembangunan kapasiti kepada persatuan.


"Kita akan bantu dari segi latihan, pembangunan organisasi dan keupayaan supaya persatuan belia lebih berkesan.


"Usaha memperkukuh gerakan persatuan penting untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda dan memperkasa komuniti belia di peringkat akar umbi.


"Kita mahu bentuk lebih ramai golongan muda yang mampu menjadi pemimpin masa depan melalui persatuan," katanya.


Mohammed Taufiq turut mengharapkan sokongan media bagi mempromosikan inisiatif kerajaan dan menggalakkan penyertaan belia dalam pertubuhan.


"Dengan bantuan rakan media menyampaikan hasrat ini, saya yakin lebih ramai anak muda akan berpersatuan

dan aktif dalam pembangunan negara," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page