top of page

Gerakkan usaha atasi isu banjir kilat Hulu Selangor - Setpol MB Selangor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegur kelewatan tindakan pihak berkaitan dalam menangani isu banjir kilat di beberapa kawasan di Hulu Selangor.


Menurutnya, sejak banjir melanda minggu lalu, teguran telah dibuat kepada lantikan politik kerajaan negeri di kawasan berkenaan agar memberi perhatian serius terhadap masalah yang menjadi keresahan penduduk setempat.


"Penyelesaian menyeluruh perlu dipercepatkan. Tempoh sebulan bagi pihak berkuasa mungkin singkat, namun sangat panjang bagi penduduk yang berdepan bencana berulang.


"Saya faham bukannya penjawat awam tidak bertindak, tetapi adakah penduduk yang rumahnya kerap dimasuki air akan menerima alasan yang sama setiap kali?. Ini hal yang kena bagi perhatian penuh," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook.


Beliau yang juga Penyelaras DUN Batang Kali berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Selangor dalam melaksanakan langkah segera mengurangkan risiko banjir.


Pada Rabu, Jurutera Daerah JPS Hulu Selangor, Ir Marina Abdul Karim telah turun padang meninjau kawasan berisiko, manakala Pengurus Besar JPS, Shah Ikram Idris juga memaklumkan kerja-kerja pembuangan kelodak di struktur lintasan Sungai Bertam akan dimulakan dalam masa terdekat.


"Saya akan bawakan juga hal ini kepada Pengarah JPS Selangor dan kepada pengetahuan Exco Infrastruktur serta Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bagi tindakan lanjut.


"Saya mohon maaf kepada penduduk atas kelewatan penyelesaian isu ini. Ke hadapan, ia akan menjadi keutamaan Pusat Khidmat Rakyat DUN Batang Kali," tegasnya.


Menerusi hantaran sama, Saifuddin turut menggesa wakil rakyat kawasan berkenaan memainkan peranan membantu penduduk dengan membangkitkan isu tersebut dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page