Gerakkan masjid seluruh dunia bantu pembebasan Palestin
- Suara Keadilan
- Apr 24
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Sekretariat Malaysia di bawah Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) hari ini melancarkan kempen perdana “Gembleng 6,800 Masjid untuk Al-Aqsa” sebagai memperkukuhkan kempen pembebasan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.
Kempen tersebut merupakan inisiatif strategik yang menyasarkan penyertaan masjid di seluruh Malaysia selain membina jaringan di peringkat ASEAN dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh solidariti dan mobilisasi global umat Islam.
Pengerusi MANAR Datuk Seri Ahmad Awang (Gambar atas) dan Ketua Sekretariatnya Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama berkata kempen tersebut melibatkan pelbagai aktiviti dan program advokasi, pendidikan serta bantuan kemanusiaan yang berfokus kepada isu Al-Aqsa dan Palestin.
"Masjid Al-Aqsa — kiblat pertama umat Islam dan tanah suci ketiga selepas Mekah dan Madinah terus dicemari dengan pencerobohan, penodaan dan usaha penyahislaman oleh rejim Zionis.

"Di Gaza pula, pembunuhan beramai-ramai sedang berlangsung, dengan ribuan syahid dan jutaan yang dizalimi.
"Masjid-masjid di seluruh dunia tidak boleh lagi berdiam. Kita mesti bangkit sebagai suara Ilahi dan benteng ummah," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata melalui kempen itu khutbah dan tazkirah bertemakan Al-Aqsa secara serentak di seluruh negara pada tarikh-tarikh khusus yang akan diumumkan nanti.
Kata beliau qunut nazilah dan munajat Al-Aqsa di masjid dan surau selain forum, wacana, seminar dan pameran kesedaran Al-Aqsa turut akan diadakan.
Tambahnya imam-imam muda dan aktivis masjid juga akan dilatih untuk menjadi jurubicara pembebasan Palestin di peringkat akar umbi.
"MANAR Malaysia menyeru seluruh imam, jawatankuasa masjid, NGO Islam, serta umat Islam amnya untuk bangkit menyahut seruan ini.
"Kemenangan umat bermula dari mimbar masjid yang sedar dan bersatu," tegasnya.
Melalui kempen itu MANAR turut akan menggerakkan usaha pengumpulan Dana Solidariti Al-Aqsa melalui platform digital dan tabung masjid serta Hari Solidariti Masjid Sedunia untuk Al-Aqsa.
"MANAR percaya bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga institusi kepemimpinan dan kebangkitan umat.
"Dalam sejarah perjuangan Islam, masjid sentiasa menjadi markas perlawanan, pendidikan dan solidariti. Justeru itu, kempen ini akan menekankan pemerkasaan peranan masjid sebagai pusat gerakan rakyat – yang bersifat amanah, inklusif dan berpandukan syariat," ujar kenyataan itu.
Comments