Genosid di Gaza cerminkan keruntuhan tantanan antarabangsa
- Suara Keadilan

- Oct 15
- 1 min read

Krisis kemanusiaan dan genosid di Gaza mencerminkan keruntuhan tatanan antarabangsa serta keperluan mendesak mempertahankan multilateralisme.
Pengerusi Polity Malaysia, Nurul Izzah Anwar (gambar) menegaskan, sistem global mesti kembali berfungsi untuk semua negara, bukan hanya kuasa besar bagi menjamin keadilan politik dan ekonomi sejagat.
"Gaza hanyalah permulaan. Apabila tatanan antarabangsa runtuh, apa lagi yang tinggal? Kami hadir untuk mempertahankan multilateralisme dan membuka ruang kepada dasar-dasar yang membawa manfaat kepada rakyat Malaysia," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita pada Persidangan Kuala Lumpur mengenai Tertib Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 di Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur pada Selasa.
Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden KEADILAN sementara itu mengimbas semangat Persidangan Bandung 1955, yang menuntut keadilan dan peluang setara bagi negara membangun.
Beliau menyeru agar Kuala Lumpur menjadi pentas suara moral bagi Selatan dan Utara global.
"Kami mahu Kuala Lumpur menjadi saksi kepada suara bukan sahaja daripada Global Selatan, malah juga daripada Global Utara yang dibimbing kompas moral," katanya.
Persidangan tersebut dianjur bersama oleh beberapa organisasi termasuk POLITY, Progressive International dan Third World Network, dengan sokongan dari Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Pejabat Perdana Menteri Malaysia.
Antara lain ia membincangkan usaha mengembalikan keseimbangan kuasa dan menegakkan hak kemanusiaan sejagat supaya keamanan bukan hanya milik negara kuat.









Comments